PETALING JAYA – Susulan mengeluarkan kenyataan sensasi mendesak agar Ebit Lew
‘membuka mulut’ menafikan segala dakwaan panas yang berlegar membabitkan
dirinya ketika ini , pendakwah bebas PU Syed dikecam orang ramai.
Perkara itu dimaklumkan PU Syed atau nama lengkapnya, Syed Mohd. Bakri Syed
Ishak menerusi untaian hantaran status dalam Facebook.
“Kena kecam doh ambe (saya). Tokleh (tak boleh) usik langsung. Kuat
‘back up’. Cuma ambe nak kena kabo satu benda, tentang ambe, kot
terlupa, #AdeAmbeTakut (ada saya takut),” tulisnya.
Ujar juara Pencetus Ummah musim ke-3 itu lagi, dia tidak kisah dikecam kerana
percaya masing-masing punya jari-jemari untuk menulis apa sahaja, namun yang
berkuasa adalah Allah SWT.
“Kecamlah selagi boleh. Sebab masing-masing ada jari-jemari untuk menaip.
Kelak di akhirat hanya kita dan Allah sahaja berhadapan untuk dihitung dan
dihisab,” katanya.
Terdahulu, PU Syed menulis satu hantaran status panjang lebar dalam Facebook
meminta agar Ebit berhenti mendiamkan diri dan melakukan sesuatu terhadap
segala fitnah dan dakwaan dilemparkan kepadanya.
“Pendedahan demi pendedahan yang berani telah dibuat terhadap UEL (Ustaz Ebit
Lew). Maka, saya minta UEL agar tampil ke hadapan dengan menafikan atau
menyaman mereka yang anda anggap sebagai fitnah.
“Walaupun kes ini masih dalam siasatan polis, masyarakat khasnya
followers (pengikut) anda perlu diberi pencerahan setuntasnya (tentang
isu ‘panas’ yang sedang terpalit ini),” tulisnya.
PU Syed berkata, dia sebolehnya enggan mempercayai segala fitnah yang
dilemparkan kepada Ebit namun apabila semakin ramai mangsa tampil ke hadapan
melakukan laporan polis dan sebagainya, kepercayaannya semakin mengendur.
“Ada beberapa video yang saya dapat daripada hamba Allah namun saya terus
memadamnya serta memadam nombor (telefon) orang yang menyalurkan video
tersebut kerana saya masih bersangka baik bahawa semuanya adalah penipuan.
“Namun apabila semakin ramai para asatizah muncul mendakwa perkara yang serupa
dan disokong dengan laporan-laporan polis yang telah dibuat oleh ‘mangsa’,
maka sangka baik saya semakin mengendur. Saya berharap isu ini dapat diadili
dengan sebaik-baiknya serta membongkar kisah sebenar.
“Biarlah kita diadili di dunia, jangan nanti di akhirat kita akan merana.
Pintu dan ruang taubat masih terbuka luas buat kita semua. Namun kemaksiatan
dan kebiadaban perlu dibanteras agar tidak menular dalam kalangan masyarakat,
apatah lagi jika muncul dari orang yang dihormati masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi hantaran status sama, PU Syed, 39, menasihatkan agar
masyarakat tidak bersikap taksub terhadap seseorang hanya kerana kebaikan yang
dipertontonkan.
“Setiap kebaikan pasti akan dikenang, namun janganlah menggunakan kebaikan itu
untuk menutup kesalahan-kesalahan yang dilakukan.
“Taksub pengikut juga adalah satu barah, taksub kepada kebaikan suatu yang
dipuji syarak tetapi jika taksub secara melulu sehingga tidak nampak langsung
buruk yang sedang ditampal adalah sesuatu yang mendukacitakan,” luahnya.
Terdahulu, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi siaran Telegramnya
mendedahkan rakaman suara dan tangkap layar perbualan lucah yang dikatakan
milik seorang pendakwah terkenal iaitu Ustaz Ebit Lew.
Menurut Firdaus, pendedahan itu dibuat berdasarkan kiriman serta permintaan
daripada mangsa sebagai memberi kesedaran kepada masyarakat dan mengalakkan
mereka yang pernah menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan polis bagi
membantu siasatan.
Difahamkan, semua bukti tersebut telah pun diserahkan kepada pihak polis.
Firdaus berkata, dia dan pasukannya sedia berdepan dengan tindakan saman
sekiranya terdapat pihak tertentu ingin mengambil tindakan undang-undang.
Jelasnya, mereka akan tetap bersama dengan mangsa-mangsa untuk mendapatkan
keadilan serta memperjuangkan kebenaran.
20 Ogos lalu, siasatan ke atas Ebit Lew dilakukan berikutan aduan diterima
Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada beberapa individu yang mendakwa
pendakwah itu melakukan gangguan seksual.
Polis mengesahkan menggeledah rumah pendakwah terkenal tersebut bagi
melengkapkan siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Video mirip Ebit Lew beraksi tak senonoh atas katil tular
- Polis akan siasat penularan video lucah mirip Ebit Lew
- Kami tak terlibat dengan Ebit Lew, kata wakil Dr Fadzilah Kamsah
- Air mata, kopiah tak boleh selamatkan kamu lagi – Caprice
- Gangguan Seksual: Ebit Lew dipanggil ke Bukit Aman?
- Ini satu fitnah yang sangat kejam – Ebit Lew
- Saya maafkan sesiapa cuba jatuhkan saya – Ebit Lew
- Gangguan seksual: Siasatan ke atas Ebit Lew diteruskan hingga polis puas hati
- PANAS: Polis serbu rumah Ustaz Ebit Lew
- Kita tak boleh dedah berapa banyak laporan ke atas Ebit Lew diterima – Polis
- Mangsa gangguan seksual Ebit Lew sudah dirakam keterangan
- PANAS: Mangsa dedah bukti mesej lucah dikatakan dari Ustaz Ebit Lew
- PU Syed cabar Ebit Lew nafi atau saman jika mesej lucah itu fitnah
- Sesuatu yang besar bakal berlaku sehari dua ini – Firdaus Wong
Join our Telegram Channel