Rentas negeri akan dipertimbang hujung Oktober – Hishammuddin



KEBENARAN merentas negeri secara menyeluruh akan dipertimbangkan pada akhir Oktober sekiranya negara memasuki fasa endemik, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Jelas beliau, dia berharap kelonggaran tersebut dapat difikirkan secara mendalam pada masa terdekat.

"Usaha kerajaan membawa negara ke fasa endemik yang dijangka pada akhir Oktober ini tentunya merangkumi kebenaran untuk merentas negeri.


"Paling utama kita tidak mahu perkara itu menyebabkan jangkitan Covid-19 menular ke kawasan yang sebelum itu mungkin tidak ada risiko ekoran perjalanan besar-besaran daripada destinasi yang agak berisiko," katanya.

Tambah Hishammuddin lagi, oleh yang demikian, kerajaan perlu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan untuk melihat fasa endemik pada hujung Oktober depan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bilik Media Parlimen pada Selasa.

Hishammuddin turut berkata, peralihan ke fasa endemik bergantung kepada perkembangan program vaksinasi.


"Pertimbangan bagi aktiviti rentas negeri juga merangkumi keupayaan fasiliti kesihatan bagi negeri-negeri terlibat.

“Ketika ini kebenaran merentas negeri hanya dibenarkan bagi perkara-perkara tertentu melibatkan individu yang telah lengkap divaksin." ujarnya.

Hurai beliau lagi, kebenaran semasa termasuk pelaksanaan gelembung pelancongan di Langkawi, kebenaran bagi pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa yang mahu melawat anak di bawah 18 tahun.

Terdahulu, larangan rentas negeri dilaksanakan sejak Mei ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. — Sinar






Join our Telegram Channel
Telegram