Sesuatu yang besar bakal berlaku sehari dua ini – Firdaus Wong



PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung hari ini memaklumkan menerima terlalu banyak mesej memohon maaf daripada orang ramai yang kesal kerana pernah mengeluarkan kata-kata kesat serta penghinaan selain bersangka buruk kepada pihaknya selama ini.

“Sebagaimana kami pernah sebut secara konsisten, kami memaafkan semua yang pernah sangka buruk, hina, memaki hamun, melabel serta memfitnah kami kerana kejahilan dan ketaasuban yang menyebabkan emosional tinggi selain bertindak kurang rasional.


“Buat yang terus menerus memaki hamun serta memfitnah kononnya kami melanggar prinsip agama, untuk maklumat anda, bersama kami ada ilmuan, tokoh akademik pakar dalam fatwa, hukum hakam dari pelbagai manhaj seperti salafi, asyairah, maturidiyyah, pondok dan tabligh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan membalas provokasi tersebut dan berdoa agar semua pihak bersama-sama menegakkan amar makruf nahi mungkar dengan cara yang makruf.

Dalam perkembangan terbaharu, beliau berkata, satu sesi pertemuan melalui aplikasi Google Meet telah diadakan bersama mangsa-mangsa terlibat serta ahli keluarga mereka.


“Mereka memberikan kata kata semangat untuk kami meneruskan usaha kami dan mereka mengucapkan Jazakumullahu Khairan kepada sahabat semua yang semakin terbuka mata melihat kebenaran. Insya-Allah sesuatu yang besar bakal berlaku dalam sehari dua ini,” katanya.

Semalam, beliau mendedahkan satu perbualan gangguan seksual yang didakwa membabitkan seorang pendakwah terkenal.

Beliau berkata, kesemua mesej serta bukti tersebut telah dilihat dirinya sendiri daripada perbualan melalui WhatsApp mangsa dan bukan sekadar mendengar kata pihak ketiga. – Kosmo


 ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram