ADUN Telok Mas (Bersatu) akui buat silap sertai ‘Langkah Sheraton’



MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas dari parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad mengakui melakukan kesilapan apabila menyertai ‘Langkah Sheraton’ pada Mac tahun lalu.

Beliau merasakan perlu bertaubat kerana kemenangannya sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah di atas tiket Pakatan Harapan (PH).


“Saya menang atas tiket PH. Jika cakap saya pengkhianat itu tidak betul. Saya sebenarnya telah buat kesilapan dengan sertai ‘Langkah Sheraton’ dan saya rasa perlu bertaubat.

“Rakyat beri mandat kepada saya selaku ADUN Telok Mas. Mereka undi saya bukan kerana saya Barisan Nasional (BN), Pas atau apa, tapi saya diundi atas nama PH,” katanya dalam sidang akhbar di Bandar Hilir pada Selasa.


Noor Effandi turut beranggapan bahawa dirinya berdosa kerana bersetuju dengan langkah partinya waktu itu dan mendakwa beliau keliru pada masa tersebut dan selepas 18 bulan kini beliau merasakan ada tanggungjawab untuknya kembali kepada fitrah iaitu amanah terhadap pengundi.

Noor Effandi antara ADUN yang bersama ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Pengkalan Batu, Nurhizam Hassan Baktee yang menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga mengakibatkan Kerajaan Negeri Melaka tumbang. – Sinar


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram