Bomoh rogol bakal pengantin umur 23



PASIR MAS: Bomoh dikenali sebagai ‘Ayah Su’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol pesakit wanita yang menjalani rawatan tradisional di rumahnya di Bunut Susu, di sini dua minggu lalu.

Ayah Su atau nama sebenarnya, Jusoh Jaafar, 67, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozaidi Yaacob.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol wanita berusia 23 tahun yang dikatakan berdepan gangguan makhluk halus dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Perangkap, Bunut Susu, kira-kira pukul 3 petang, 14 Oktober lalu.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Fatin Syahirah Abu Hasan.


Mahkamah menetapkan esok untuk keputusan kebenaran bagi jumlah ikat jamin serta tarikh sebutan semula kes di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Pada 18 Oktober, akhbar ini melaporkan wanita yang akan berkahwin dalam masa terdekat mendakwa menjadi mangsa rogol Ayah Su ketika menjalani rawatan perubatan tradisional dengan bomoh terbabit.

Mangsa pergi ke rumah bomoh itu bersama ibu dan bakal suaminya sebelum diarahkan masuk ke bilik seorang diri dengan alasan sebagai salah satu kaedah rawatan untuk menghalau makhluk halus. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram