Calon tunggal KM, Idris Haron tolak PRN Melaka



Bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron menolak cadangan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan bagi menyelesaikan kemelut politik negeri itu.

Kata Adun Sungai Udang itu PRN tidak perlu diadakan, kerana pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh setahun setengah saja lagi.

"Jika PRN ingin diadakan, ia membabitkan banyak perkara yang harus kita pertimbangkan kerana kita masih dalam pandemik Covid-19 dan ia menyebabkan risiko lebih tinggi. Ia juga membabitkan kos perbelanjaan yang tinggi.

"Selain itu, PRU15 sudah dekat, lebih kurang setahun setengah saja lagi dan kita tidak mahu apa yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini berulang di tempat kita yang menyaksikan jumlah pesakit Covid-19 naik mendadak," katanya yang dipetik oleh Berita Harian, hari ini.


Namun, menurut Idris, dia menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam sama ada mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau memilih ketua menteri yang baru.

Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali, tumbang susulan langkah empat Adun, termasuk Idris yang menarik balik sokongan kepada kepemimpinannya semalam.

Selain Idris, yang turut mengumumkan menarik sokongan terhadap Sulaiman ialah Adun Pantai Kundor dari BN, Nor Azman Hassan; Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Idris juga dipetik sebagai berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu diberi peluang mengetuai Melaka dan dia yakin Melaka akan tetap dimajukan, bukannya diundurkan 20 tahun.

"Kalau PH bentuk kerajaan, takkanlah kita hendak jadikan Melaka mundur, sudah tentulah kita majukan negeri kita ini," katanya.


Idris juga enggan mengulas mengenai parti mana yang akan disertai beliau bersama tiga lagi Adun yang terbabit dalam langkah menarik sokongan semalam.

Selain Ahmad Zahid, Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh, juga mahu supaya DUN dibubarkan bagi membolehkan PRN diadakan.

Sebelum perkembangan semalam, Umno memiliki 14 kerusi manakala Bersatu (2) dan Bebas (1). PH mempunyai 11 kerusi. DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

Bagaimanapun, dengan penarikan sokongan empat Adun itu, Umno sekarang hanya mempunyai 12 kerusi manakala Bersatu (1).

Jika keempat-empat Adun berkenaan menyokong PH, maka mereka akan mempunyai 15 kerusi, iaitu empat melebihi Umno dan Bersatu. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram