Merdeka 118, menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa



Kuala Lumpur: Malaysia akan mencatat satu lagi rekod dunia apabila menara mega Merdeka 118 akan siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun depan dengan ketinggian 700 meter dari paras laut.

Merdeka 118 kini pada ketinggian 644 meter yang diukur dari permukaan tanah hingga puncak.

Ketinggian sebenar menara mega itu akan diumumkan kepada umum tahun depan sebaik struktur itu siap sepenuhnya.


Apabila puncak akhir menara itu disambung kelak, ketinggian akhir dijangka mencecah 700 meter menurut mereka yang terbabit dalam pembinaannya.

"Puncak menara itu kini dalam proses pembinaan. Ia akan dipasang pada kawasan tertinggi menara dalam tempoh beberapa bulan dan meningkatkan ketinggian menara," kata sumber.

Walaupun baru mencecah ketinggian 644 meter, Merdeka 118 sudah menjadi struktur kedua tertinggi di dunia.

Menara itu kelak akan tersenarai antara bangunan tertinggi di dunia seperti Burj Khalifa di Dubai yang menjadi menara tertinggi dengan ketinggian 828 meter manakala Menara Shanghai di China kini menjadi menara kedua tertinggi di dunia dengan ketinggian 632 meter.


Dalam tempoh beberapa tahun lagi, terdapat lima bangunan tertinggi di dunia antaranya Menara Kingdom di Jeddah, Arab Saudi pada ketinggian 1,008 meter, Burj Khalifa (828 meter, Merdeka 118 (hampir 700 meter), Wuhan Greenland Center di Wuhan, China dengan ketinggian 636 meter dan Menara Shanghai (632 meter).

Merdeka 118 dibina dengan nilai RM5 bilion dibangunkan dalam tiga fasa di tanah berkeluasan 19 ekar di kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB) yang juga milik Permodalan Nasional Bhd (PNB) membangunkan menara berkenaan.

Disebalik pandemik, PMVSB berjaya mencapai kejayaan besar dalam pembinaan menara berkenaan yang sudah mencapai perkembangan lebih cepat dari pelan pada Jun lalu. – Hmetro





Join our Telegram Channel
Telegram