Muhyiddin mahu pecah undi Melayu, sanggup bagi PH menang dari UMNO



PETALING JAYA: Keputusan Perikatan Nasional (PN) bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, menjadi strategi “bumi hangus”, selain ingin memastikan gabungan parti itu tidak ditamatkan riwayatnya oleh Umno dan BN, kata Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil.

Beliau berkata, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, mahu melihat perpecahan undi Melayu agar Umno dan BN tidak menang di PRN Melaka, sebaliknya mendakwa Presiden Bersatu itu mahu Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di negeri terbabit.

“Dia nampaknya lebih sanggup jika PH menang daripada biarkan Umno menang.


“Ini strategi ‘scorched earth’ atau bumi hangusnya. Dulu pun dia berkawan dengan PH, dan dia memang selalu kata dia tidak suka Umno,” katanya dalam kenyataan.

Isham berkata, Muhyiddin berhasrat mewujudkan kepercayaan bahawa Umno atau BN memerlukan bantuannya untuk menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), andai Umno dan BN kalah di Melaka.

“Maka, dia boleh tunjuk yang Umno atau BN perlukannya untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

“Sebab itu, pada Muhyiddin dia tidak mahu Umno menang dalam PRN Melaka ini. Jika Umno menang, tamatlah riwayat PN dan PPBM (Bersatu). Mereka akan ditinggalkan dan berpecah,” katanya.


Beliau berkata, sekiranya pengundi di Melaka mengundi Bersatu atau PN, tindakan itu sama seperti “mengundi” PH.

“Sebab undi PPBM (Bersatu)/PN ini akan pecahkan undi Melayu dan akibatnya PH yang akan menang dan PH/DAP yang akan perintah Melaka semula,” katanya.

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan PN dijangka bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka dengan beliau mengarahkan agar rundingan dalam kalangan parti di bawah PN, termasuk PAS dan Gerakan diadakan segera. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram