PAS menunjukkan sikap terbukanya dalam percaturan mereka bersama BN untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah termasuk jika diputuskan menggunakan lambang dacing.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak ada halangan atau masalah untuk menggunakan apa saja lambang yang diputuskan oleh Perikatan Nasional.
“PAS tiada masalah guna simbol BN. PAS boleh guna simbol BN di Sabah.
"Kalau keputusan menggunakan simbol (parti) masing-masing, guna simbol masing-masing, kerana saya difahamkan ada parti di Sabah yang nak buat simbolnya sendiri.
"Terpulang.. kita tak ada masalah," katanya seperti dipetik Sinar Online di Marang hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRR) menetapkan 26 Sept ini untuk Sabah mengadakan PRN ekoran pembubaran dewan undangan negeri 30 Julai lalu ekoran wujud cubaan menjatuhkan kerajaan negeri oleh sekumpulan Adun diketuai bekas ketua menteri, Musa Aman.
PAS memang tidak asing menjadi parti yang bertanding di Sabah namun setakat ini gagal memberikan impak yang besar apabila keputusan diumumkan.
Bagaimanapun kali ini PAS hadir sebagai rakan kepada Umno - melalui Muafakat Nasional - dan Bersatu - melalui Perikatan Nasional.
Setakat ini PAS - yang menyatakan minat untuk bertanding sejak awal - belum mengesahkan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.
Kata Abdul Hadi PAS juga terbuka kepada cadangan untuk bertanding menggunakan logo sendiri.
Menurut anggota parlimen Marang itu lagi, berdasarkan sejarah PAS pernah bertanding menggunakan lambang lain dalam pilihan raya sebelum ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel