YB Beliau bohong, PH Melaka nafi mahu jumpa Agong, bukan semua Adun PH terima dia



Pakatan Harapan (PH) Melaka tidak bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong bagi membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Kata Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, sebaliknya, fokus mereka adalah untuk membawa isu itu ke mahkamah, sekaligus menafikan dakwaan Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee semalam bahawa 15 Adun - termasuk 11 dari PH - akan mengadu soal pembubaran DUN kepada Agong.

“PH negeri Melaka setakat ini tiada rancangan bertemu Yang di-Pertuan Agong.

“Fokus kini untuk membawa pembubaran DUN ke Mahkamah bagi mempertikaikan proses dan fakta pembubaran termasuk menghormati Perkara 19(2) Perlembagaan negeri,” kata bekas ketua menteri itu di Facebook.


Norhizam adalah seorang daripada empat Adun yang menarik semula sokongan kepada kerajaan BN-PN di Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, hingga menyebabkannya hilang majoriti.

Selain Norhizam yang merupakan Adun bebas, tiga lagi Adun lain adalah Idris Haron (Umno-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Susulan itu, DUN Melaka dibubarkan selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam menerima cadangan yang dikemukakan Sulaiman, bagi membuka laluan untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Semalam, Norhizam berkata 15 Adun, termasuk 11 daripada PH bersetuju untuk menyampaikan aduan kepada Seri Paduka berhubung pembubaran DUN Melaka, selepas permintaan mereka untuk bertemu Ali tidak dilayan.

Sepatutnya, menurut kata Norhizam, hari ini mereka akan berangkat ke Istana Negara bagi tujuan itu.


Ali dilaporkan berada di bawah kuarantin kendiri setelah mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Terdahulu, Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong dari DAP turut mengherdik dakwaan Norhizam itu, yang juga bekas ahli DAP.

“Adly telah menafikan perkara ini. Saya ingin menegaskan bahawa Norhizam harus berhenti mencemarkan nama baik PH, kerana bukan semua Adun PH menerimanya sebulat suara …

“Jangan juga bermimpi DAP akan terima dia sebagai rakan. Tidur awal, jangan mimpi!” katanya di Facebook. – Mkini




ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram