PETALING JAYA – Usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, mengesahkan dia telah berhijrah ke Australia dan telah ‘cerai’ talak tiga dengan Malaysia.
Sajat memberitahu dia tidak akan kembali lagi ke negara ini.
Menerusi perkongsian video ‘live’ di Instagram miliknya, Sajat kini secara rasmi berhijrah ke Australia dan sedang menjalani kuarantin di Canterbury.
Berdasarkan ‘live’ Instagram miliknya, usahawan kosmetik itu sudah merangka beberapa perancangan buat dirinya di mana salah satunya adalah membuka kembali perniagaan untuk terus menetap di situ.
“Saya berasa sangat bahagia kerana sudah bebas dan boleh menjadi diri sendiri,” kata Sajat menjawab salah satu soalan pengikutnya.
Ketika itu di ruangan komen juga ada yang mahukan Sajat mengulas lebih lanjut tentang kes ‘menyeludup’ masuk ke negara jiran bagi mengelakkan dirinya ditangkap oleh pihak berkuasa.
“Apa yang terjadi tidaklah seperti yang disangka dan semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja, saya juga menghormati kerja pihak Polis Diraja Malaysia yang menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Selain itu, Sajat turut memaklumkan yang segala perniagaannya di Malaysia sudahpun dijual dan kini berhijrah ke Australia untuk memulakan perniagaan baharu selepas selesai dikuarantin.
Di akhir ‘live’ tersebut, mengesahkan dirinya sudah berpisah dengan Malaysia dan tidak akan boleh kembali ke sini lagi, dia juga tidak berasa ralat akan hal itu dan cukup teruja untuk memulakan kehidupan yang baru di Australia.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel