BUKIT KATIL – “Saya bukan boneka DAP, berhentilah main isu perkauman,” kata
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.
Kata-kata itu diucapkan Adly ketika menafikan beliau adalah boneka DAP
sepanjang mengetuai pentadbiran kerajaan negeri selama 22 bulan sebelum
tumbang pada Mac 2020.
Sebaliknya, beliau menegaskan DAP tidak pernah membantah kerajaan negeri
melaksanakan pelbagai inisiatif ekonomi bagi membantu meningkatkan
sosioekonomi Bumiputera.
“Ingin saya tegaskan sewaktu saya jadi Ketua Menteri, banyak inisiatif yang
berjaya kita buat khusus untuk membantu Melayu dan Bumiputera.
“DAP tak bantah pun…saya ingin nasihat kepada pihak di sebelah sana supaya
berhentilah main isu perkauman dan lebih baik kita cerita apa rancangan kita
untuk membantu rakyat yang baru hendak bangkit selepas dua tahun terpaksa
berkurung dalam rumah,” katanya dalam satu rakaman klip video di laman
Facebooknya.
Klip video itu memaparkan Adly ketika berceramah politik mendakwa, ketika
menerajui kepemimpinan negeri, PH menubuhkan Dana Harta Bumiputera dan berjaya
mengumpul RM33 juta.
Katanya, dana itu disalurkan sebagai pinjaman mikro kepada usahawan Bumiputera
dengan nilai pinjaman kurang RM100,000 melalui penyediaan kaedah pembayaran
balik secara mudah.
Join our Telegram Channel