PETALING JAYA: Umno masih mengumpul maklum balas daripada banyak pihak,
termasuk kepemimpinan parti itu dalam membuat keputusan berhubung kerjasama
dengan Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata parti itu juga tidak mahu
terburu-buru dalam membuat keputusan mengenai perkara berkenaan.
Katanya, maklum balas mengenai kerjasama itu akan diperhalusi pada mesyuarat
khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dijangka diadakan selepas pengumuman
berkaitan PRN Melaka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita membincangkan semua perkara pada mesyuarat MKT, malam tadi, namun belum
membuat keputusan (mengenai kerjasama dengan PN). Kita juga mendapatkan maklum
balas dan pandangan sebelum membuat keputusan.
“Tiada keperluan mendesak untuk membuat keputusan itu, dan kita juga tidak
boleh mendahului SPR yang akan menentukan sama ada PRN boleh diadakan atau
sebaliknya.
“Jika SPR menentukan pilihan raya itu boleh diadakan dan tarikh sudah
diumumkan, kita akan membuat keputusan mengenai kerjasama berkenaan,” katanya
menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan Barisan
Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Melaka.
Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan, kunjungannya ke Melaka untuk meninjau
persiapan menghadapi PRN.
Beliau berkata, beberapa lagi siri kunjungan akan dilakukan oleh pucuk
kepemimpinan parti, termasuk lawatan ke kawasan DUN oleh Presiden Umno Ahmad
Zahid Hamidi, pada Selasa dan Khamis depan. – FMT
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel