Zahid saman Mahathir, Muhyiddin



Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata dia telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar surat saman kepada Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Katanya, individu yang mendakwa dia berbohong mengenai saman berkenaan boleh membuat semakan kepada kedua-dua pemimpin berkenaan, lapor Utusan Malaysia.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk hantar letter of demand (LOD) atau surat saman kepada Muhyiddin dan Tun Mahathir.


“Dua surat saman dihantar minggu lepas dan jika individu katakan bahawa saya tidak menghantar, maka peguam saya telah menghantar surat itu dari firma guamannya.

“Saya minta orang itu tanya sendiri kepada dua pemimpin itu sama ada saya bohong atau sudah terima LOD,” ujarnya kepada pemberita selepas program Presiden Umno bersama Calon Parit Raja.

Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai hantaran seorang individu di media sosial yang mendakwa dia berbohong dan sanggup menjadi saksi bagi pihak Dr Mahathir sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah.

Minggu lalu, Ahmad Zahid menuntut Dr Mahathir memohon maaf atas tuduhan dia meminta bantuan bekas Perdana Menteri itu bagi menghentikan siasatan kes rasuah terhadap dirinya.

Pengerusi Pejuang itu mendakwa, Ahmad Zahid bertemunya ketika ada ura-ura dia akan menjadi Perdana Menteri.


Selain itu, Muhyiddin pula sebelum ini mendakwa Ahmad Zahid pernah bertemunya untuk meminta campur tangan dalam kes mahkamah yang dihadapi presiden Umno itu.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menafikan dakwaan itu.

Dia meminta mana-mana pemimpin untuk tampil menyatakan perkara sebenar dan tidak menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai medan memburukkan individu.

“Taktik lama (burukkan individu) telah ditolak oleh rakyat, jangan guna kaedah lama untuk tundukkan pihak musuh,” jelasnya. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram