Ali XPDC ditidurkan, ahli keluarga mohon doa



PETALING JAYA: Penyanyi, Ali XPDC, terpaksa ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas.

Perkhabaran tersebut dikongsikan ahli keluarga penyanyi lagu Titian Perjalanan itu menerusi akaun Facebook rasmi kumpulan XPDC.

Menerusi kapsyen, Ali yang telah dimasukkan ke Hospital Ampang sejak seminggu lalu masih ditidurkan walaupun tahap pernafasannya sudah kembali normal.

Dalam pada itu, ahli keluarga penyanyi berkenaan meminta orang ramai mendoakan agar Ali diberikan kesembuhan dengan segera.


“Assalamualaikum. Perkembangan terkini saudara Ali XPDC setakat jam 7 pagi hari ini (semalam). Ahli keluarga minta semua mendoakan Ali supaya cepat sembuh.

“Keadaan Ali kalau ikutkan semakin sihat dan mula diajar membuat aktiviti ringan dan sudah boleh bercakap walaupun keadaan separuh badan kanan masih lemah.

“Tetapi, petang tadi Ali mengalami sesak nafas dan telah ‘ditidurkan’ buat masa ini. walaupun pernafasan Ali sudah kembali normal, tetapi dia masih lagi ditidurkan dan dipantau,” katanya.

Mengulas lanjut, setakat ini Ali masih lagi belum dibenarkan untuk menerima pelawat di hospital.

“Ali tidak dijangkiti Covid-19, cuma sebelum ini dia diletakkan di wad saringan Covid-19. Apa pun, dia masih lagi tidak boleh menerima pelawat.


“Ahli keluarga meminta semua peminat dan sahabat untuk mendoakan dan membuat solat hajat untuk kesihatan Mohd Ali bin Ismail dikembalikan dan sihat seperti dahulu,” ujarnya.

Sebelum ini, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang pada Jumaat lalu apabila tiba-tiba didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah.

Terdahulu, penyanyi itu telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada 2 September tahun lalu akibat semput serta masalah jantung dan dibenarkan pulang pada 9 September lalu.

Selepas itu, Ali memaklumkan dia terpaksa tidur dalam keadaan duduk setiap malam akibat masalah jantung dan mengalami kesukaran untuk bernafas. – Utusan 

 

Join our Telegram Channel
Telegram