Anak-anak semua sedang menunggu dia – Abang kandung Yasin



PETALING JAYA : Abang kandung Yasin Sulaiman, Zain Sulaiman, 50, yang mewakili keluarga meluahkan harapan yang tinggi selain mendoakan urusan perbicaraan penyanyi nasyid dan komposer tersebut dipermudahkan.

“Saya mendoakan agar Allah SWT mempermudahkan segalanya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Selain Zain yang mewakili keluarga, turut dilihat hadir memberi sokongan moral kepada Yasin ialah anggota kumpulan Brothers, Akbar.

Selain itu, ditanya mengenai keadaan anak-anak Yasin iaitu Sameer,12, dan Malaika,7, Zain berkata kedua-duanya juga menaruh harapan yang tinggi pada bapa mereka.


“Anak-anak dia menaruh harapan yang tinggi dan sangat tabah. Mereka semua menunggu Yasin. Mereka tahu apa yang berlaku pada dia,” katanya.

Dalam pada itu, kata peguam pembela Yasin, Yusmadi Yusoff, dia percaya sokongan keluarga dan orang terdekat adalah sangat baik buat anak guamnya pada waktu ini.

“Kita doakan sama-sama untuk urusan dia. Malah, hari ini ada juga kawan-kawannya yang datang. Bagi saya, dia tiada rekod negatif dan dia adalah seorang yang banyak memberi inspirasi. Rasanya ia (pandangan itu) perlu dikekalkan begitu.

“Satu lagi yang harus direkodkan, amat tak wajar dia dilaporkan memiliki ladang mini. Itu tidak betul. Kemudian ada yang kata kononnya ada sejumlah wang dan sebagainya, saya dah cek tiada.

“Tapi tentang hal itu tidak boleh komen lanjut kerana kes sedang berjalan. Cuma saya cadang agar komen-komen yang tidak wajar harus dielakkan,” katanya.


Hari ini Yasin hadir ke mahkamah bagi menjalani perbicaraan tuduhan dan penahanannya berhubung kes menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara pada 24 Mac lalu.

Yassin juga akan didakwa mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah berbahaya.

Minggu lalu, kegiatan penyanyi terbabit menanam pokok ganja terbongkar selepas kediamannya diserbu polis.

Dalam serbuan pada 5.30 petang, polis menemukan 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Polis turut menemukan dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan. – Utusan





ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram