#PRNJohor: 'Kemenangan BN bukan perkara boleh dibanggakan sangat' – Mukhriz



JOHOR BAHRU: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bukan perkara yang boleh dibanggakan, kata Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, ia berdasarkan kepada kadar peratusan keluar mengundi yang sangat rendah pada Sabtu.

“Peratusan keluar mengundi adalah sangat rendah dan ini membuktikan kepada kita bahawa kemenangan yang telah dicapai oleh BN bukanlah sesuatu yang harus mereka banggakan sangat.


“Sebilangan besar daripada pengundi yang pertamanya... tidak keluar mengundi dan yang kedua... ramai juga tidak undi calon-calon BN,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama Pejuang di Tebrau di sini, pada Sabtu malam.

Mukhriz pada masa sama mengakui Pejuang mempunyai kelemahan kerana masih baru bertapak dalam arena politik negara dan akan meneruskan usaha mempersiapkan parti itu untuk menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita kurang dari tempoh tujuh bulan didaftarkan dan kita akui ada kelemahan tertentu dan akan terus berusaha.

“Kami tidak jadikan PRN ini sebagai medan uji kaji dan populariti kerana tujuan asal adalah untuk memenangi seberapa banyak kerusi untuk bentuk kerajaan.


“Pejuang tidak akan luntur semangat untuk terus berjuang kerana teras perjuangan kami untuk memerangi rasuah itu perlu kita teruskan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mukhriz turut mengakui bakal hilang deposit bagi sesetengah kawasan yang ditandingi parti itu namun belum memperoleh angka sebenar.

Untuk rekod, Pejuang meletakkan seramai 42 calon bertanding daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Johor.  – Awani



Join our Telegram Channel
Telegram