PANAS: Kerajaan gagal dapat sokongan lanjutkan subsekyen Sosma



Usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) gagal mendapat sokongan mencukupi Dewan Rakyat petang ini.

Hanya 84 ahli parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju dalam proses undi belah bahagi tersebut. Seramai 50 orang lagi ahli parlimen tidak hadir.

Keputusan itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun.

Ini bermakna, subseksyen berkenaan - yang membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret - tidak akan lagi berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022


Terdahulu, usul itu dikemukakan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, sebelum dibahaskan oleh 19 orang ahli parlimen.

Terdahulu sidang bersedia untuk mengadakan undian secara suara namun Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) memohon kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, agar usul tersebut ditentukan secara undi belah bahagi.

Cadangan Nga itu kemudian diterima selepas mendapat lebih 15 sokongan ahli parlimen.

Untuk membolehkan undian belah bahagian dibuat, loceng dibunyikan dua kali dan masa diberikan untuk ahli parlimen masuk ke dewan, sebelum pintu ditutup.

Semasa kiraan undi belah bahagi, Dewan Rakyat sempat kecoh seketika apabila perwakilan pembangkang tidak berpuas hati kerana terdapat ahli parlimen kerajaan yang masih masuk ke semasa undian sudah pun dalam dalam proses kiraan.


Namun, Azhar - yang mengambil alih sidang daripada Ramli - memberi jaminan dia tidak akan mengambil kira undian ahli parlimen yang lewat.

“Maka usul seperti yang anda kemukakan tadi tidak dipersetujui,” umum Azhar disambut sorakan wakil pembangkang.

Ada juga kedengaran laungan "Hidup rakyat!" dan "Menteri letak jawatan!" dari blok pembangkang.

Sosma digagaskan untuk menyediakan langkah-langkah khas berkenaan kesalahan keselamatan bagi mengekalkan “ketenteraman awam, keselamatan dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya”.

Ia dikuatkuasakan untuk menangani kes kesalahan keselamatan dan keganasan dan berkuatkuasa pada 22 Jun 2012, menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram