Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini mengumumkan persaraannya dari dunia politik.
Lim berkata dia tidak akan bertanding untuk sebarang jawatan dalam kongres DAP kali ini, serta di mana-mana kerusi Parlimen dan DUN di masa akan datang.
Dia membuat pengumuman itu dalam kongres DAP yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam, hari ini.
“Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan persaraan saya daripada politik. Saya menarik diri dari bertanding pilihan jawatankuasa pusat hari ini - sila padamkan no 39 dari senarai calon jawatankuasa pusat anda.
“Saya juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya parlimen atau negeri di masa hadapan,” katanya.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata dia telah bersama DAP selama 56 tahun dan telah menyaksikannya berkembang daripada parti kecil menjadi pembangkang utama yang bersama-sama menubuhkan kerajaan persekutuan selepas PRU14.
Menurut Lim, dia bertuah kerana dapat berkongsi perjalanannya bagi merealisasikan “Impian Malaysia - untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berkelas dunia - bersama-sama rakyat patriotik yang lain, sama ada di dalam mahupun di luar DAP.
Di akhir ucapannya, seluruh hadirin bangun dan memberikan tepukan gemuruh kepadanya, dan tidak sedikit yang melaungkan namanya.
Ditanya kemudian mengapa dia mengambil keputusan itu, Lim hanya menjawab, “Kerana saya 81 tahun. Saya sudah tua. Berapa ramai di kalangan anda di sini berusia 81 tahun?”
Anaknya, Lim Guan Eng, turut menyuarakan penghargaan yang menyifatkannya sebagai “perdana menteri terbaik yang tidak akan dimiliki Malaysia kerana warna kulitnya (the best prime minister that Malaysia will never have because of his ethnicity)” dan “satu-satunya pesaing yang setanding (worthy)” untuk ramai bekas perdana menteri dan menteri.
Kata Guan Eng, bapanya itu menjadi simbol perjuangan sunyi DAP dalam pembangkang sebelum ini dan juga kejayaan besar dalam meraih kuasa.
“DAP mendapat manfaat daripada kasih sayangnya agar menjadi platform untuk memberikan masa depan lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya dlam ucapan selaku setiausaha agung hari ini.
Dari sisi peribadi pula, Guan Eng berkata keluarganya seringkali cemburu ekoran masa Kit Siang yang banyak diberikan kepada DAP dan mereka terpaksa berkongsi kasih sayang bapanya dengan parti.
Pada masa sama, katanya lagi, mereka menghormati dan menyokong sepenuhnya tekad Kit Siang dalam politik.
“Bagi pihak ramai daripada kita yang tahu tanpa Kit Siang memimpin pemimpin veteran kita, tidak akan ada DAP hari ini, serta ramai di kalangan kita yang kekal bersama DAP ketik hari-hari sukar sebagai pembangkang kerana contoh yang ditunjukkannya, atau pemimpin muda yang menyertai DAP kerana mendapat inspirasi daripadanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Kit Siang umum bersara dari politik
- Loke setiausaha agung, Guan Eng pengerusi DAP baru
- Kit Siang pejuang sebenar – Aziz Bari
- Siapa peluk Kit Siang, tolong jangan datang ke Parlimen, kata Najib
- Undur diri sebagai Pengerusi DAP, Boo gesa Guan Eng berkait kes rasuah terowong
- Mursyidul Am PAS sokong Kit Siang diberi penghargaan
- Umno tolak penghargaan terhadap Kit Siang
Join our Telegram Channel