Mursyidul Am PAS sokong Kit Siang diberi penghargaan



Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyokong cadangan supaya kerajaan memberi penghargaan kepada veteran DAP, Lim Kit Siang yang mengumumkan untuk bersara daripada arena politik.

Jelasnya, Lim wajar diberi penghargaan kerana dia turut menyumbang kepada negara, meskipun sebagai pembangkang.

"Walaupun dia sebagai pembangkang boleh kata banyak jasa dia jadi pembangkang dalam Parlimen. “Sangat elok jika pihak kerajaan dapat hargai dengan memberi sedikit penghargaan kepadanya.

"Ini akan menambat orang ramai, pengundi-pengundi kepada keujujuran. Tidak boleh dinafikan dia turut menyumbang kepada pembangunan negara. 


"Secara peribadi saya sokong jika dia diberi sedikit penghormatan," katanya kepada Malaysiakini.

Lim sebelum ini mengumumkan keputusannya untuk bersara dari dunia politik.

Keputusannya untuk bersara mendorong Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim membuat gesaan agar kerajaan memberikan penghargaan kepada veteran DAP berkenaan.

Lim, 81, menghabiskan lebih daripada separuh abad masanya bergelumang dalam politik.

Saranan Rais itu semalam turut mendapat sokongan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim.


Ibrahim Ali: Dia tak hipokrit 

Nada sama turut disuarakan Presiden parti Putra Ibrahim Ali yang berpendapat sememangnya wajar untuk Lim diberi penghormatan kerana tempoh lama dia berkhidmat sebagai ahli parlimen dan ketua pembangkang.

"Secara peribadi saya menyokong Kit Siang wajar diberi penghormatan bukan kerana keputusannya untuk bersara tetapi tempoh lama dia berkhidmat sebagai ahli parlimen dan ketua pembangkang.

"Dalam orang seperti saya tidak suka cara Lim memperjuangkan isu-isu kepentingan kaum Cina yang ada kala agak melampau, namun itu haknya sebagai seorang yang kuat jati diri patriotisme bangsanya.

"Pemimpin Melayu tidak ada bersifat seperti Lim yang konsisten, tegas dan lantang suaranya. Dia tidak hipokrit walaupun bukan beragama Islam," kata Ibrahim.

Kata Ibrahim jasa Lim kepada rakyat dan negara wajar di iktiraf walaupun antara mereka sering melabelkan rasis.

Tanpa berselindung Ibrahim menyifatkan Lim sebagai ketua pembangkang yang hebat di negara ini. 



Join our Telegram Channel
Telegram