Polis Malaysia merampas ganja seberat 468.3kilogram bernilai kira-kira RM1.53
juta, yang dipercayai diseludup masuk dari Segitiga Emas Laos, selepas
tertangkapnya dua lelaki tempatan di Kuala Langat, kata Pengarah Jabatan
Siasatan Jenayah Narkotik Malaysia pada Khamis.
Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dadah itu diseludup masuk melalui jalan darat
di sebuah negeri di utara Semenanjung yang bersempadan dengan Thailand untuk
pasaran di Lembah Klang.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah berjaya merampas dadah jenis ganja
seberat 486.8 kilogram dan 10 kilogram lagi dadah jenis syabu yang kesemuanya
dianggarkan bernilai RM1.53 juta,” kata Ayob sambil menambah ganja yang
dirampas itu diseludup dari Laos.
“Kegiatan penyeludupan ganja dari Laos sebelum dibungkus dan disimpan untuk
edaran tempatan terbongkar selepas menahan dua lelaki tempatan di sekitar
Kuala Langat, dua hari lalu, yang membawa kepada penemuan dadah berkenaan di
sebuah rumah di Klang, awal minggu ini.
“Dadah-dadah ini dipercayai diseludup masuk melalui jalan darat di sebuah
negeri di utara Semenanjung yang bersempadan dengan Thailand,” kata Ayob
semasa sidang media di Shah Alam pada Khamis.
Beliau berkata kedua-dua lelaki yang ditahan berusia 31 dan 47 tahun itu
dipercayai mula aktif dalam pengedaran ganja dan syabu sejak awal bulan ini,
dengan seorang daripadanya memiliki rekod kes jenayah lampau.
Menurut beliau lagi, bulan Mac dan Oktober secara kebiasaannya adalah musim
menuai ganja di Laos.
“Bagaimanapun, aktiviti menuai di negara itu pada masa sekarang dijalankan
sepanjang tahun kerana mempunyai sistem pengairan yang sempurna dan disebabkan
itu kita dapat melihat banyak rampasan yang dibuat di sempadan utara
Semenanjung Malaysia melibatkan dadah jenis ganja,” katanya.
Beliau berkata, ganja yang dirampas terdiri daripada tiga gred iaitu Gred 2
berharga RM2, 800(AS$667) sekilogram, Gred 3 pada harga RM2,500(AS$595)
manakala Gred 4 berharga RM2,400(AS$572).
Jumlah dadah yang dirampas menurut Ayob boleh digunakan oleh seramai 987,341
orang penagih dadah.
“Kita turut menyita pelbagai aset sindiket termasuk kenderaan dan barang kemas
bernilai RM88,496(AS$21,000), dan kedua dua lelaki itu kini direman selama 7
hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang
membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan” tambahnya lagi.
Segitiga Emas
Sementara itu seorang sumber keselamatan memberitahu BenarNews, Malaysia
terletak berhampiran dengan beberapa negara pengeluar dadah seperti Myanmar,
Laos dan Thailand yang dikenali sebagai Segitiga Emas.
“Dadah biasanya diseludup dari Segitiga Emas terutamanya daripada Wilayah Shan
di Myanmar yang merupakan antara pengeluar dadah jenis syabu terbesar untuk
pasaran dunia sebelum memasuki Malaysia melalui jalan laut atau darat,”
katanya.
Katanya dua laluan digunakan sindiket iaitu jalan laut dan darat bermula dari
Segitiga Emas dan berakhir di seluruh pelosok Malaysia.
“Yang pertama, jika menggunakan jalan laut, perjalanan akan bermula dari
wilayah Satun, Thailand menuju ke Pulau Langkawi, Kedah seterusnya belayar
merentasi Pulau Kendi dan Teluk Kumbar sebelum masuk ke Sungai Jawi atau Kuala
Juru, Pulau Pinang.
“Majoriti sumber dadah ke Sabah dan Sarawak akan melalui jalan laut dan udara
dari Semenanjung Malaysia,” katanya lagi.
Menurut beliau, jalan kedua adalah melalui darat yang bermula dari wilayah
Narathiwat, Thailand melalui Tak Bai dan Golok menggunakan Sungai Golok ke
Tumpat serta Rantau Panjang.
“Laluan darat ini mudah berikutan Malaysia dan Thailand hanya dipisahkan
dengan Sungai Golok yang panjangnya 99 kilometer dan lebarnya 15 meter serta
sungainya yang agak cetek.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel