Orang kerumun Najib sebab nak tengok ‘perompak’ lebih dekat, kata Muhyiddin



JOHOR BAHRU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa sambutan menggalakkan penduduk di Johor terhadap Najib Razak ketika turun padang adalah kerana mahu melihat “perompak” dengan lebih dekat. 

Katanya, sambutan menggalakkan orang ramai pada kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor yang dihadiri Najib itu tidak bermakna bekas Perdana Menteri itu disokong rakyat.

“Biasalah orang yang datang itu mereka tengok muka siapa (pemimpin itu), ada yang suka datang ada yang tak suka pun datang. Mereka nak tengok betul ke dia (Najib) ini ‘perompak’, betul ke dia (Najib) ini yang telah dijatuhkan hukuman di mahkamah.

“Jangan kita andaikan kerana ramai datang itu mereka suka (Najib), mereka mungkin nak tengok muka sebenar adakah ini orangnya yang telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta yang terbabit dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC).


“Orang ini juga telah berulang alik naik ke mahkamah, kes belum selesai, orang ini juga yang disabitkan apa yang dilakukan di mahkamah di Amerika Syarikat dan sedang dibicarakan,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani aku janji menentang rasuah oleh semua 56 calon PN dalam PRN Johor.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kehadiran Najib yang mendapat sambutan menggalakkan orang ramai pada kempen PRN Johor.

Muhyiddin berkata, Najib sepatut berasa malu selepas beliau didapati bersalah, bukannya seronok.

“Bagi saya ini satu perkara yang amat memalukan kalau ramai keluar datang tempat dia itu dia (Najib) rasa seronok, tapi sepatutnya dia rasa patut malu,” katanya.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana sebanyak RM42 juta milik SRC.


Mengulas tindakan Ahli Parlimen pembangkang Tony Pua yang mahu Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat semasa membahaskan Titah Diraja semalam, Muhyiddin berkata, itu adalah hak wakil rakyat tersebut.

“Itu hak wakil rakyat bawa ke Parlimen. Ini kepentingan umum, sama ada Speaker terima atau tidak, itu hak Speaker, tapi kenyataan dibuat (Najib) satu kenyataan mengelirukan, jadi sebagai wakil rakyat ada hak untuk bangkit perkara itu di Parlimen,” katanya.

Semalam Najib berkata, tiada satu sen pun dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB kerana pelbagai entiti, termasuk Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah memulangkan dana 1MDB, berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram