#PAU2021: Majoriti suara akar umbi setuju PRU sebelum pemilihan



KUALA LUMPUR, 18 Mac – Sebanyak 186 bahagian UMNO daripada 190 bahagian yang telah bermesyuarat dan bersetuju agar pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketetapan tersebut bukan keputusan beliau tetapi adalah suara akar umbi parti yang telah bersidang di Mesyuarat Perwakilan di Bahagian masing-masing pada Disember tahun lalu.

“Sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU. Bertahun-tahun ia diamalkan. Adakah wajar kita mengubah tradisi ini? Janganlah kita memakai kasut sebelum menyarung stokin.

“Kita sudah tetapkan mengikut persetujuan Pendaftar Pertubuhan bahawa pemilihan parti diadakan pada akhir tahun ini, atau secara tepatnya sebelum 29 Disember 2022.


“Ketika itu siapa pun boleh bertanding, termasuklah jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan seterusnya. Bukan saya tidak tahu, sekarang pun sudah ada berpasang-pasangan, ada cai, ada papan.. saya tahu… cukup-cukuplah, kita tumpu penyatuan parti untuk PRU, itu keutamaan,” katanya di dalam Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, pagi tadi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga bersyukur kerana diberi peluang memimpin parti dan menangkis segala serangan terhadap parti.


“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberikan peluang memimpin parti ini, dan mempertahankannya daripada pelbagai serangan, termasuklah percubaan untuk melumpuhkannya.

“Kita kenal pasti mereka, namun semangat kepartian dan setia kawan mengatasi segala-galanya. Biarpun saya perlu ada ‘some benefits of the doubt’, yang paling saya utamakan ialah kelestarian parti,” katanya.

Tegasnya lagi, berbanding dengan serangan pihak luar, beliau lebih kecewa apabila terdapat segelintir pihak mengkhianati parti dari dalam.

“Saya mungkin dilihat banyak berdiam diri, tidak membalas komen dan bertolak ansur termasuk orang yang pernah dilantik atau sedang dilantik, namun itu tidak bererti saya leka. Janganlah uji saya banyak-banyak. Usahlah asak saya sampai ke dinding. Saya tidak maksum. Saya tidak sempurna. Setiap perbuatan kita perlu ada hadnya!


“Saya tidak ambil kisah dengan serangan orang luar… alah bisa tegal biasa. Tetapi saya kecewa dengan mereka yang menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengkhianati parti dari dalam,” katanya.

Begitu juga Ahmad Zahid menyeru kepada semua agar jujur dalam persahabatan dan tidak berkepentingan.

“Sedarlah! Budaya kita tidak mencerca kawan, biar kita dinista dari segenap arah. Namun kita perlu sentiasa waspada. ‘We have to draw the line’ dalam persahabatan. Ada kawan yang bersama kita sehingga akhir hayat.

“Malah, ada kawan yang meninggalkan kita sewaktu kita susah dan ada pula yang berkawan dengan kita secara bersyarat.

“Ingatan saya, pilihlah kawan yang benar-benar ikhlas dan jujur. Pilihlah kawan dunia akhirat. Pilihlah kawan yang taat dan setia kepada parti. Dalam lawan ada kawan, dalam kawan ada lawan,” tegasnya. – UMNO ONLINE



Join our Telegram Channel
Telegram