Kuala Lumpur: Presiden Umno Zahid Hamidi mendedahkan terdapat gerakan ‘membayar’ akar umbi bertujuan agar pemilihan parti diadakan sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, gerakan itu juga turut turun ke kawasan termasuk Perhimpunan Agung Umno (PAU), termasuk menghadiri sayap pemuda dan wanita.
“Ada dalam PRN Johor dan Melaka juga mereka turun jumpa G7 bayar. saya tahu. Ini dunia tanpa sempadan saya tahulah.
“Lupakan itu semua, yang penting kita bersatu hati untuk menghadapi PRU bersama-sama. Saya yakin mereka tiada sebarang motif, ini kawan-kawan saya, saya kenal. Sekilas ikan di air saya kenal jantan betina,” kata Zahid dalam ucapan dasarnya sempena PAU Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Semalam, Pemuda Umno mengusulkan kepada pucuk pimpinan tertinggi supaya pemilihan parti hanya diadakan selepas setiap kali PRU.
Asyraf berkata, Pemuda tidak seharusnya terpengaruh dengan usaha memaksa disegerakan pemilihan parti.
Zahid turut berkata, sebanyak 186 bahagian daripada 190 bahagian yang telah bermesyuarat dan bersetuju agar pemilihan parti diadakan selepas PRU.
“Sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU. Bertahun-tahun ia diamalkan. Adakah wajar kita mengubah tradisi ini? Janganlah kita memakai kasut sebelum menyarung stoking,” tegasnya di hadapan 2,666 perwakilan dari seluruh negara
Zahid turut mengumumkan pemilihan parti akan diadakan 29 Disember ini berdasarkan tarikh akhir yang ditetapkan oleh persetujuan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Beliau berkata, dalam PAU, wajib bagi kepimpinan mendengar suara akar umbi termasuk yang meminta mandat baharu diperolehi melalui PRU15.
“Janganlah guruh berdentum namun tidak setitis pun hujan turun, untuk itu kita mengharapkan untuk kembali kepada rakyat, serahkan kepada mereka berilah mandat baharu kepada kita.
“Ketika orang sayang kita, sambutlah kasih sayang itu, jangan ditagih kasih itu selepas ia hilang , makin bertangguh makin melarat lah rakyat, makin padamlah parti kita, betul?” katanya dengan disambut sorakan daripada perwakilan yang hadir. – Utusan
ARTIKEL BERKAITAN:
- #PAU2021: ‘Hendak tunggu apa lagi, bubar Parlimen!’ – Zahid
- #PAU2021: Bukan saya tidak tahu, ada ‘cai’ pemilihan UMNO, kata Zahid
- #PAU2021: Zahid dedah ada gerakan ‘bayar’ akar umbi buat pemilihan sebelum PRU
- #PAU2021: Majoriti suara akar umbi setuju PRU sebelum pemilihan
- #PAU2021: KJ: Sebagai Menteri Kesihatan, wajar tangguh dulu #PRU15, saya percaya PM akan dengar nasihat KKM
- #PAU2021: Umno dijangka lulus usul gesa PRU dipercepat hari ini – Sumber
Join our Telegram Channel