WASHINGTON: Pesakit lelaki di Amerika Syarikat yang menerima pemindahan
jantung babi meninggal dunia dua bulan selepas menjalani pembedahan itu.
David Bennet, 57, yang menerima jantung babi diubah suai secara genetik kerana
menghidap penyakit jantung, meninggal dunia kelmarin, selepas menjalani
pembedahan pada 7 Januari lalu.
Mangsa meninggal dunia di Pusat Perubatan University of Maryland (UMMC) dan
menurut pihak hospital, kesihatannya mulai merosot sejak beberapa hari lalu
serta terdapat petanda jelas menunjukkan bahawa Bennet tidak akan pulih.
Pengarah Program Pemindahan Kardiak universiti berkenaan, Muhammad Mohiuddin,
dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa Bennet ada mengalami beberapa
'masalah jangkitan'.
"Kami menghadapi kesukaran mengimbangi kadar kekurangan imuniti pesakit dan
mengawal jangkitan yang dialami," katanya.
Bagaimanapun, Bennett sempat berhubung dengan keluarganya pada detik-detik
terakhir sebelum kematiannya.
Prosedur pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik adalah yang
pertama seumpamanya di dunia, yang dijalankan oleh pasukan perubatan di
Universiti Perubatan Maryland.
Ia secara tidak langsung merekodkan kejayaan pertama dalam bidang yang
memungkinkan pembedahan pemindahan organ kaedah baharu.
Prosedur itu juga meningkatkan harapan untuk melakukan pemindahan organ antara
spesies sehingga satu hari nanti organ hidupan lain dapat mengatasi masalah
kekurangan kritikal pendermaan organ manusia.
Pakar bedah Pusat Perubatan University of Maryland (UMMC), Bartley P Griffith (kiri) bersama penerima jantung babi, David Bennet, sebelum menjalani pembedahan. - Foto EPA |
Join our Telegram Channel