Siasat Zeti, keluarga terima dana 1MDB, gesa Dr M



BATU PAHAT: Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya menerima dana 1MDB.

Katanya, beliau tidak tahu mengenai perkara itu kerana ia berlaku ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

“Masa saya jadi Perdana Menteri tidak ada masalah, benda ini berlaku selepas saya letak jawatan.

“Perkara ini perlu disiasat, tentukan benar atau tidak Zeti dan keluarganya terlibat perbuatan curang ini,” katanya ketika menghadiri sebuah program di Felda Ayer Hitam di sini.


Selasa lalu, media melaporkan, polis sudah membuat siasatan mengikut Seksyen 4(1) AMLA (Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001) terhadap Tawfiq dan satu kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 14 Okt 2021 dan 07 Okt 2021.

Bagaimanapun kertas siasatan telah dikembalikan semula kepada polis pada 21 Dis 2021 untuk beberapa tindakan siasatan lanjut di Singapura.

Polis Singapura dilaporkan telah memaklumkan kepada BNM mengenai transaksi mencurigakan pada 2015 dan 2016 melibatkan sebuah syarikat milik suami Zeti dan salah seorang anak lelakinya.

Ia membabitkan dana yang masuk daripada akaun yang dikaitkan dengan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang didakwa menjadi dalang skandal kewangan 1MDB.

Zeti adalah gabenor BNM ketika itu.

Bulan lepas, Tawfiq kembali menjadi tumpuan selepas bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner mendakwa Tawfiq disogok untuk mempercepat pindahan USD1 bilion keluar dari Malaysia.


Dalam pada itu, Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang berkata partinya itu belum menamakan mana-mana calon untuk menjadi Menteri Besar Johor bagi Pejuang.

Beliau berkata buat masa ini, Pejuang mempunyai beberapa calon yang bertanding yang mampu memegang jawatan Menteri Besar Johor.

“Bagi Pejuang siapa jadi calon itu bergantung siapa yang menang. Kalau bagi nama pun kalau kalah tidak boleh jadi Menteri Besar (Johor). Sebab itu tak namakan calon.

“Kita mempunyai beberapa calon yang bertanding sekarang ini yang mampu memegang jawatan Menteri Besar.

“Saya harap rakyat beri kemenangan pada kita. Pada masa itu kita akan namakan calon Menteri Besar Johor,” katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram