Lihat video di akhir artikel. |
Bismillahirrahmanirrahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana atas limpah kurnia-Nya saya dapat berpeluang sekali lagi berdiri di dewan yang mulia ini. Kali ini melafazkan ucapan menjunjung kasih dan menyokong di atas titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merasmikan sidang Parlimen Keempat Belas Penggal Kelima.
Tan Sri Yang Dipertua,
Sebelum saya meneruskan perbahasan ini saya ingin mengajak semua ahli-ahli dewan mendoakan keadaan banjir di negeri-negeri Pantai Timur segera pulih. Begitu juga semoga semua mangsa terlibat tabah menghadapi ujian ini. Insya Allah saya yakin semua pihak berkaitan akan sentiasa membantu memastikan kebajikan dan bantuan untuk mangsa banjir dapat disalurkan secepat mungkin.
Tan Sri Yang Dipertua,
Izinkan saya menyentuh mengenai keadaan kewangan negara. Minggu lepas, YB Pagoh telah mengugut untuk membongkarkan mengenai keadaan kewangan negara. Tapi, sehingga kini nampaknya belum ada apa-apa perkembangan. Tak apa, biarlah saya perjelaskan.
Tan Sri Yang Dipertua,
Akibat pemansuhan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang dilakukan semata-mata sebagai langkah populis, aset-aset negara yang selama ini memberi pulangan yang baik tetapi dijual serta prestasi ekonomi yang lembab di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selepas PRU14, defisit tahunan kerajaan yang turun 8 tahun berturut-turut semasa Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu telah naik semula.
Akibatnya hutang langsung negara telah naik lebih 46% atau kenaikan sekitar RM320 bilion dari RM687 bilion pada tahun 2017 ke lebih RM1.03 trilion hari ini.
Nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga naik dari 48.7% ke lebih 63% hari ini – iaitu jauh melebihi had nisbah hutang 55% yang ditetapkan semasa kerajaan BN.
Bukan sahaja rizab tunai Petronas sebanyak RM176 bilion yang ditinggalkan kerajaan BN pada masa PRU14 telah dijarah, tetapi tabung KWAP, KWAN dan Khazanah turut mengalami nasib yang sama dikorek Kerajaan PH dan PN.
Sedangkan, sepanjang tempoh KWAP ditubuhkan dan beroperasi, satu sen pun tidak pernah diambil dari tabung ini pada era BN. Hakikatnya, nilai aset tabung KWAP naik dari RM55 bilion pada tahun 2008 ke RM140 bilion pada akhir tahun 2017.
Malangnya bermula tahun 2018 di mana RM4.5 bilion dikeluarkan oleh Kerajaan PH, sebanyak RM19.5 bilion telah dikeluarkan dari KWAP setakat ini berbanding dengan sifar yakni kita tidak pernah sentuh sama sekali pada zaman BN, sebaliknya bertambah peruntukannya setiap tahun.
Begitu juga dengan tabung KWAN di mana nilai tabung naik dari RM4 bilion pada tahun 2008 ke RM17 bilion pada akhir tahun 2017, sebanyak RM15 bilion juga telah dikorek keluar oleh kerajaan PN.
Nilai aset Khazanah Nasional yang naik berganda dari RM33 bilion ke RM116 bilion dalam tempoh 9 tahun sebelum PRU14 juga telah menurun kepada RM82 bilion pada akhir tahun 2020 setelah aset bernilai berpuluh bilion Ringgit yang sepatutnya memberi pulangan yang baik, telah dijual oleh Kerajaan PH. Ianya jelas bahawa nilai-nilai rizab dan tabung simpanan kerajaan ketika ini sudah jauh lebih rendah berbanding sebelum PRU14.
Akibatnya penarafan kredit Malaysia yang diberi oleh syarikat Fitch telah diturun taraf dari gred A ke gred B pada tahun 2020 - buat kali pertama dalam sejarah Malaysia kehilangan gred A.
Kesimpulannya, bukan sahaja rizab Petronas, Khazanah, KWAP dan KWAN dikorek atau dijarah tetapi hutang kerajaan juga melonjak naik sebanyak RM320 bilion iaitu kenaikan lebih 46% sejak PRU14.
Tan Sri Yang Dipertua,
Negara berdepan dengan keadaan yang cukup mencabar untuk memulihkan semula tabung-tabung dan rizab negara setelah kerosakan sangat teruk ditinggalkan oleh Kerajaan PH dan PN terdahulu.
YB Pagoh bukan tidak tahu keadaan kewangan negara sedangkan beliau pernah menjawat jawatan Menteri Kanan dalam PH dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri dalam Kerajaan PN. Sebenarnya selepas PRU14, Pagoh berada dalam dua kerajaan yang merosakkan kewangan negara.
Beliau juga pernah mengaku berbelanja RM600 bilion untuk menunjukkan keprihatinannya semasa menjadi PM sehinggakan mengaku kerajaan tidak mempunyai dana lagi.
Dari mana dia dapat dana sebanyak RM600 bilion ini jika bukan dari rizab RM2 trilion pada masa BN dahulu? Ataupun dengan menambah hutang negara?
Setakat hendak membelanjakan duit, semua orang boleh buat. YB Kota Raja boleh buat, Parit Buntar dan Pokok Sena pun boleh. Hanya tahu berbelanja tetapi gagal dalam menambahkan hasil negara.
Tan Sri Yang Dipertua,
Dalam dewan yang mulia ini, janganlah kita memberikan alasan hutang 1MDB sebagai merosakkan kewangan negara.
Hakikatnya, satu sen pun prinsipal hutang 1MDB tidak pernah dibayar. Pada 2018 hutang 1MDB berjumlah RM32 bilion.
Pada 2019 hutang RM32 bilion.
Pada 2020 hutang RM32 bilion.
Pada 2021 hutang RM32 bilion.
Adalah tidak betul untuk mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB. Misalnya, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima dari Goldman Sachs bukanlah dari wang rakyat. Itu wang Goldman Sachs yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Begitu juga dana-dana lain yang diterima dari :
- DOJ RM3 bilion,
- Ambank RM2.83 bilion,
- KPMG RM340 juta,
- Deloittes RM324 juta.
Kesemua ini yang berjumlah hampir RM23 bilion, bukanlah wang rakyat. Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Tan Sri Yang Dipertua,
Ini tidak termasuk aset-aset 1MDB. Penjimatan daripada penyelesaian perjanjian berat sebelah Penjana Elektrik Bebas (IPP) peninggalan zaman Perdana Menteri ke-4 yang diselesaikan dengan bantuan 1MDB dengan mengambil alih IPP. Ini telah menjimatkan sebanyak RM50 bilion. Penjimatan inilah antara sebab rizab tunai Petronas naik daripada RM30 bilion kepada RM176 bilion pada 2018, sebelum dijarah licin oleh Kerajaan PH dan PN.
Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion yang dinilai sebagai aset terbaik Malaysia. YB Bagan semasa menjadi Menteri Kewangan pernah menyifatkan projek TRX sebagai antara aset terbaik negara dan YB Langkawi semasa dia melancarkan semula Bandar Malaysia menyifatkannya sebagai projek paling strategik.
Tan Sri Yang Dipertua,
Saya percaya ketika saya bangun membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong, pasti ada komen-komen di media sosial yang mahu saya membangkitkan soal I-citra. Ini adalah kali keempat saya mendesak kerajaan memenuhi permintaan rakyat untuk pengeluaran kali terakhir. Sekarang ini saya lebih optimis sebab seorang ahli dewan sebelum ini yang pernah menggelarkan usaha saya membangkitkan soal pengeluaran I-citra ini seumpama meminang Puteri Gunung Ledang, kini sudah menyokong. Menteri-menteri dan pemimpin PN pun sudah u-turn dan menyokong. Jadi, kepada Menteri Kewangan, saya merayu supaya permintaan UMNO berhubung perkara ini dan kini disokong oleh parti lain dalam Kerajaan, dipenuhi. Siapa hendak claim kredit tak kisah lah… Asalkan permintaan pengeluaran kali terakhir ini, yang sangat diharapkan oleh rakyat dapat dipenuhi kerajaan dengan segera.
Tan Sri Yang Dipertua,
Semasa dan sepanjang Kerajaan BN memerintah, visi utama Tabung Haji ada dua iaitu pertama, pengurusan haji terbilang dan kedua, tonggak kejayaan ekonomi ummah. Selari dengan visi-visi ini, hibah tabung haji biasanya lebih tinggi berbanding dividen KWSP. Namun, ini sudah bertukar selepas PRU14 apabila Kerajaan PH menyatakan bahawa Tabung Haji tidak perlu berniaga ataupun melabur dalam pasaran ekuiti. Sebaliknya Tabung Haji hanya akan menyimpan ke dalam Pelaburan Simpanan Tetap (Fixed Income Asset).
Ianya benar bahawa melabur ke dalam Fixed Income Asset adalah lebih selamat dan lebih berisiko rendah tetapi kadar pulangan yang diperolehi juga terhad dan biasanya adalah pada kadar faedah bon kerajaan. Bon kerajaan pada masa kini hanya membayar faedah pada kadar 3.5 hingga 3.7 peratus setahun. Sekiranya, keseluruhan pelaburan Tabung Haji hanya antara 3.5 hingga 3.7 peratus maka selepas menolak kos subsidi haji dan kos pengurusan, hibah Tabung Haji yang mampu dibayar pada setiap tahun hanyalah sekitar 3 hingga 3.2 peratus.
Sekiranya visi dan misi Tabung Haji masih untuk memperkasakan ekonomi ummah dan memacu kejayaan ummah maka Tabung Haji perlu mengembalikan strategi pelaburan mereka dan fokus kembali kepada pelaburan ekuiti dan projek pembangunan hartanah.
Tan Sri Yang Dipertua,
Saya juga ingin membangkitkan perkara berkaitan dengan High Speed Rail (HSR), pelebaran Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Johor Bahru iaitu pertambahan dari 2 lorong kepada 4 lorong, Rapid Transit System (RTS) dan Electric Train Service (ETS), Perumahan Generasi Kedua FELDA dan Perumahan Rakyat.
Antara projek-projek infrastruktur penting diusahakan kerajaan BN dahulu yang sudah tentu akan memberi impak besar kepada pembangunan Negeri Johor serta keselesaan hidup warga Johor tetapi telah mengalami penangguhan selepas PRU14, adalah :
RTS Singapura-Johor Baharu yang bakal menyelesaikan kesesakan tambak Johor. Ia sepatutnya beroperasi pada Disember 2024, tetapi kini tertangguh kepada Disember 2026.
Perkhidmatan keretapi ETS dari Johor Baharu ke Kuala Lumpur dan terus ke Padang Besar, Perlis dan seterusnya ke Hatyai, Thailand. Projek ini sepatutnya telah siap pada Oktober 2020, tetapi kini tertangguh ke tahun 2023.
HSR Singapura ke Kuala Lumpur yang hanya mengambil masa 90 minit dan dijadualkan siap pada tahun 2026. Bagaimanapun, projek itu kini tak tahu bila lagi sebab asyik tangguh, tangguh, batal dan disambungkan.
Justeru, Kerajaan diseru tidak lagi melewatkan atau membatalkan projek ini khususnya di Johor.
Pelebaran Lebuhraya PLUS antara Yong Peng ke Johor Bahru yang ketika ini hanya 2 lorong sehala kepada 4 lorong sehala, boleh menyelesaikan kesesakan trafik. Ini merupakan antara janji manifesto BN pada PRU14 tetapi tidak kesampaian untuk dilaksanakan.
Usaha kerajaan bagi pembinaan Perumahan Generasi kedua FELDA serta perumahan awam seluruh negara perlu diperbanyakkan dengan konsep sewa beli pada harga mampu milik.
Tan Sri Yang Dipertua,
ARTIKEL BERKAITAN:
- i-Citra RM10k hanya lulus jika Muhyiddin dan menteri PPBM setuju
- Ucapan Pekan diganggu Jelutong dan Shah Alam, ini teks penuh ucapan
- Menganggu Dewan, Jelutong dihalau keluar lagi
- Dulu ada yang kata i-Citra macam meminang Puteri Gunung Ledang, akhirnya syukur, MP itu sokong cadangan saya
- Tiada lagi pengeluaran caruman KWSP – CEO
- Pengeluaran tambahan i-Citra akan menjejaskan pencarum – Menteri
- PARLIMEN: Benarkan i-Sinar, jangan sampai rakyat pinjam ah long
- Anwar sokong pengeluaran KWSP
- Pengeluaran KWSP sebelum Ramadan masa paling tepat – Najib
- Tengku Zafrul terus berdegil, tiada lagi pengeluaran KWSP
- Kerajaan setuju pengeluaran KWSP RM10,000
- KWSP: Permohonan pengeluaran khas mulai 1 April
- Saya lebih rela letak jawatan dari benar pengeluaran ‘one-off’ KWSP – Tengku Zafrul
- Menteri Kewangan nafi letak jawatan
Please subscribe
Join our Telegram Channel