PETALING JAYA: Anak presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid menafikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa terlibat kes pengabaian dan penganiayaan remaja sindrom down merupakan anak angkat keluarganya.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Nurulhidayah memaklumkan segala dakwaan mengaitkan keluarganya termasuk dikatakan mengupah 10 peguam bela untuk Siti Bainun adalah fitnah semata-mata.
“Kalau semua orang bergambar dengan abah saya dan family (keluarga) saya, maka mereka akan ada kena-mengena ke?
“Anak angkat celah mana itu, tanyalah mereka. Sia-sia je mereka ini semua berpuasa,” balasnya menerusi salah satu komen di Instagram berkenaan gambar Siti Bainun bersama keluarganya.
Nurulhidayah berkata, beliau dan keluarga menentang sekeras-kerasnya kes melibatkan penderaan ke atas remaja sindrom down dikenali sebagai Bella.
Katanya, dia sendiri telah menghubungi saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin, yang digelar Bella sebagai “mummy” bagi mengikuti kes penderaan yang sedang dibicarakan itu.
“Cukup saya beritahu yang saya dan seluruh ahli keluarga menentang keras kes yang melibatkan penderaan ke atas Bella. Asal usul cerita yang mengaitkan kami dengan SB (Siti Bainun) pun saya tak pasti dari mana.
“Saya sendiri berhubung dengan ‘mummy’ sejak tahun lalu berhubung kes ini dan juga ke mahkamah mendengar kes Bella. Buat apa nak ‘gebang’ semata-mata nak meraih ‘likes’?,” katanya.
Kisah bella, 13, yang didakwa dianiaya dan diabaikan Siti Bainun mendapat perhatian seluruh rakyat dan prosiding mahkamah berkaitan kes berkenaan masih berjalan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel