PANAS: Netizen bongkar 3 kes ganja libat VVIP yang ramai dah lupa



Kes bekaitan pemilikan ganja menjadi bualan hangat apabila ada yang menyuarakan bahawa pengurusan kes seumpama itu tidak telus apabila melibatkan golongan orang penting (VIP) atau anak mereka.

Jenayah berkaitan ganja turut menjadi tumpuan selepas bekas penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman, ditahan polis bersama 17 pasu pokok ganja yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu.

Dia ditahan dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Mac 2022.

Susulan penangkapan tersebut, Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Rentetan itu, beberapa kes dadah (ganja) lain turut dikorek semula netizen.

Ada yang antara mereka yang menyuarakan isu berat sebelah dalam penghakiman ke apabila golongan VIP atau anak mereka kerap dilepaskan dengan mudah.

Berikut merupakan beberapa kes yang diperkatakan netizen.

KES dadah Nevin Tan mencetuskan kontroversi apabila Peguam Negara pada ketika itu, Tommy Thomas mengenakan hukuman ringan kepada anak VIP itu.


1. Kes dadah anak lelaki Vincent Tan


Kes yang berlaku pada 2019 ini mencetuskan kontroversi apabila anak kepada taikun perniagaan, Vincent Tan, Nevin Tan terlepas hukuman berat kesalahan memiliki dadah jenis ganja.

Dia dituduh kerana menanam berpuluh pokok ganja di dalam kondominiumnya dan berdasarkan laporan Ketua Operasi yang membuat tangkapan, Nevin memiliki lebih dari 100 pokok ganja dan lebih dari 2 kilogram ganja.

Nevin sepatutnya boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

Dia juga boleh disabitkan di bawah seksyen 6(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup.

Bagaimanapun dia hanya didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Pemulihan Dadah dan dikenakan denda.

Pelbagai spekulasi yang wujud termasuk dakwaan ramai bahawa Peguam Negara pada ketika itu, Tommy Thomas berkompromi dengan pihak tertentu supaya mengenakan hukuman ringan.

Tommy bagaimanapun, menafikan perkara itu mengatakan dia mengurangkan hukuman Nevin selepas mengkaji representasi dan kertas penyiasatan, menyemak semula peruntukan undang-undang serta berbincang dengan pendakwa raya.

AHMAD Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis ganja di sebuah hotel di Kuala Lumpur. — Awani


2. Anak ahli politik ditahan positif ganja

Anak seorang menteri ditahan bersama 101 individu lain dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Januari 2019.

Individu yang dimaksudkan merupakan Ahmad Saiful Islam Mohamad yang juga merupakan anak kepada Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC (ganja) di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 2.05 pagi, 5 Januari 2019.

Dia bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 6 petang keesokan harinya.

Rentetan itu dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan didapati bersalah atas dakwaan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka.

Ahmad Saiful dihukum penjara 8 bulan atas kesalahan yang dilakukan itu.

Bagaimanapun, pada Oktober 2021, Ahmad Saiful Islam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan penyalahgunaan dadah tersebut.

SUSPEK turut memiliki tujuh pokok ganja serta dua anak pokok ganja di rumahnya di Ampang Selangor. — Awani


3. Ahli politik proses sendiri ganja, jual RM300 sebotol

Seorang ahli perniagaan yang juga bekas calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ditahan polis selepas disyaki mengedar dadah yang diproses sendiri di rumah pada Januari 2021.

Suspek yang pernah bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda sebuah parti politik pada 2020, ditahan polis dalam satu serbuan di Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu, Kuala Lumpur.

Hasil pemeriksaan, polis menemui 40 botol mengandungi 400 milimeter (ML) cecair dadah beserta wang tunai RM250 pada suspek.

Serbuan berbeza dilakukan di rumah suspek yang terletak di Ampang, Selangor juga berjaya membawa kepada penemuan tujuh pokok ganja serta dua anak pokok ganja.

Pemeriksaan lanjut polis turut berjaya merampas 1,500 gram ganja, cecair ganja (3,000 ml), cecair kimia, ganja, tempat siram pokok ganja serta sebuah kereta BMW disyaki milik suspek berkenaan.

Bukan tiga kes ini sahaja melibatkan VIP yang terlepas daripada hukuman sewajarnya, tetapi masih ramai lagi yang didakwa mendapat layanan istimewa gara-gara kedudukan mereka.

Maka tidak hairanlah jika ada rakyat yang membandingkan kes VIP itu dengan Yasin Sulaiman yang diibaratkan antara dua darjat.

Setidaknya, kerajaan perlu memberi penjelasan tentang kes-kes yang diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) melibatkan anak VIP atau golongan VIP supaya rakyat tidak bersangka buruk atau membuat andaian tersendiri. — Majoriti


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram