AKTIVIS dan pereka grafik, Fahmi Reza yang beberapa kali dipanggil polis
kerana menghina beberapa tokoh berpengaruh melalui lukisan, kini sekali lagi
mencetus kontroversi.
Melalui akaun Twitter miiknya, dia berkongsi lukisan menunjukkan potret seekor
beruk memakai tengkolok serta darjah kebesaran, seperti pakaian bangsawan atau
sultan.
Dia memuat naik gambar tersebut malam tadi tanpa sebarang keterangan atau
kapsyen.
Dalam ciapan berasingan, Fahmi berkongsi satu poster tertera ayat berikut:
“Kalau kita bole terima dan tak sekat karya satira yang memberukkan orang
lain, kita juga harus terima dan tak sekat karya satira orang lain yang
memberukkan kita.”
Kedua-dua ciapan itu tidak dinyatakan kepada siapa ia ditujukan, namun
dipercayai ada kaitan dengan lukisan ‘Parlimen beruk’ yang tular baru-baru
ini.
Menjengah di ruangan komen pada ciapan tersebut, rata-rata pengguna Twitter
mengecam tindakan berkenaan dan mengingatkan agar dia bersedia dipanggil
polis.
Ada juga netizen mengingatkan Fahmi agar bersedia menikmati lemang dan ketupat
dalam lokap.
Pada Februari lalu, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala
Lumpur atas tuduhan menghina PAS di Facebook.
Fahmi didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana
memuat naik hantaran jelik mengaitkan parti itu dengan gambar minuman bir pada
1 Jun 2021 dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel