Baling: Malang buat seorang kanak-kanak perempuan apabila dia maut digilis kereta ketika cuba menghentikan kenderaan terbabit yang mengundur selepas dia melepaskan brek tangan ketika bermain dalam kenderaan itu bersama adiknya di rumah mereka di Kampung Keledang, Kuala Ketil, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa Aisyah Amani Amirrudin, 10, murid Sekolah Kebangsaan Tawar terperosok bawah Proton Wira merah milik keluarga dalam keadaan tubuhnya membongkok ke tanah.
Kejadian menyayatkan hati itu berlaku di hadapan dua kakak, adik lelaki dan juga bapa saudaranya yang ketika itu bertungkus lumus cuba membantu mengeluarkan mangsa untuk menyelamatkannya.
Bagaimanapun, tuhan lebih menyayangi kanak-kanak terbabit apabila dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat pendarahan di kepala selain tulang tengkorak patah kerana digilis kereta berkenaan.
Sumber berkata, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik tinggal di rumah terbabit bersama bapa, bapa saudara dan nenek.
Katanya, bapa dan nenek mangsa tiada di rumah dan ketika itu hanya ada dua kakak berusia 15 serta 12 tahun, adik lelaki berusia tujuh tahun dan bapa saudaranya yang berusia 29 tahun serta masih bujang dalam rumah terbabit.
"Mangsa ketika itu sedang bermain bersama adik lelakinya di luar rumah manakala kakak sulung sedang mengulang kaji pelajaran dan kakak kedua pula sedang tidur di ruang tamu.
"Bapa saudara mangsa yang bekerja sebagai pemandu ambulans sebuah syarikat swasta pula sedang bersiap dan baru selesai mandi untuk ke tempat kerja," katanya.
Menurutnya, kejadian mangsa terperosok bawah kereta itu hanya disedari dua kakaknya selepas mendengar jeritan adik lelaki dan mereka terus meluru keluar untuk melihat apa yang berlaku.
"Adik bongsu menunjukkan mangsa di bahagian belakang kereta dan melihatkan kejadian itu semua tiga beradik berkenaan menjerit meminta tolong bapa saudara yang berada dalam rumah.
"Bapa saudara yang meluru keluar melihat tiga beradik berkenaan berusaha mengeluarkan mangsa di bahagian belakang bawah kereta sebelum lelaki terbabit menggunakan kudratnya menolak kereta ke hadapan dan berjaya menarik mangsa keluar," katanya.
Menurutnya, tanpa berlengah bapa saudaranya terus membawa kanak-kanak itu ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani menggunakan ambulans milik syarikat namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
"Hasil siasatan awal, adik bongsu mereka mendakwa kakaknya itu masuk dalam kereta dan bermain di tempat pemandu sebelum dia menurunkan brek tangan membuatkan kereta berkenaan mengundur.
"Kanak-kanak itu juga mendakwa kakaknya yang panik terus berlari keluar ke belakang kerana mahu menahan kereta daripada terus bergerak sebelum dilanggar dan terperosok bawah kenderaan terbabit," katanya.
Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati tempat parkir kereta itu agak bercerun dan berbukit.
"Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat dan pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan di belakang leher dan kepala.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel