Jabatan Agama Islam negeri diminta menyiasat kemunculan laman sosial yang
menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata
siasatan itu perlu bagi mengesan mereka yang terbabit dengan pakej berkenaan
untuk diambil tindakan.
“Nak bertaubat kena bayar duit ini adalah tidak betul dan jika tidak mempunyai
ilmu, kita mudah ditipu orang lain.
“Allah suruh kita mengajar dan belajar jadi orang berilmu kerana dengan adanya
ilmu, kita tidak mudah ditipu,” katanya pada sidang media pada Majlis
Sumbangan Inspirasi Qaseh Ramadan dan Aidilfitri 1443 Yayasan Pembangunan
Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada 70 anak yatim di Kampung Sungai Petai,
Changkat Jering di Bukit Gantang, semalam.
Beliau diminta mengulas penyebaran iklan di laman media sosial mengenai pakej
sesiapa yang ingin bertaubat dikenakan bayaran RM20.
Idris turut menggesa agensi di bawah kementeriannya seperti YaPEIM agar
menyantuni golongan miskin dan tidak hanya menunggu di pejabat.
“Kita minta semua pegawai agensi yang terlibat dengan masyarakat supaya pergi
mencari mereka dan biarlah kita sendiri pergi santuni mereka,” katanya.
Beliau juga berkata pihaknya memutuskan untuk membentuk sebuah jawatankuasa
bagi membantu golongan rentan.
“Jawatankuasa itu juga mempunyai pelan tindakan bersama agensi lain supaya
pengisian khidmat tersebut diberikan kepada mereka yang tinggal di situ
termasuk yang terlibat dengan pusat pemeliharaan kanak-kanak,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Jawatankuasa
Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan ditubuhkan bagi melindungi kebajikan
golongan rentan khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya, wanita dan warga
emas.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Siti Nurhaliza dikecam plagiat mv lagu raya, “bukan inspired dah, ini copy paste terus!”
- KECOH: Menteri arah siasat pakej taubat RM20
- Tular video Kak Long Rela belasah kereta langgar lampu merah
- SEDIH: Kanak-kanak maut cuba tahan kereta mengundur
Join our Telegram Channel