Lelaki beristeri 9 sedih seorang isteri minta cerai



SAO PAULO: Seorang lelaki yang berkahwin dengan sembilan wanita berasa terkejut dan sedih selepas seorang daripada isterinya mahu bercerai dengannya kerana sudah ‘tidak tahan berkongsi’ dan mahu perkahwinan monogami.

Lapor Daily Mail, Arthur O Urso dari Brazil sebelum ini sudah pun berkahwin dengan isteri pertamanya, Luana Kazaki apabila lelaki itu mengahwini lapan lagi wanita dalam satu majlis pada tahun lalu.

Urso menyifatkan tindakannya yang berkahwin ramai sebagai ‘protes terhadap monogami’.


Majlis perkahwinan yang berlangsung di Sao Paulo, Brazil itu bagaimanapun tidak sah di sisi undang-undang kerana poligami dilarang di negara ini.

Kini, sorang daripada isterinya yang dikenali sebagai Agatha mahu meninggalkan pakatan poligami itu kerana tidak gemar berkongsi suaminya dengan wanita lain.

“Dia hanya mahukan saya untuk dirinya sendiri. Ini tidak masuk akal kerana kita perlu berkongsi.

“Saya sangat sedih dengan perpisahan ini malah terkejut selepas mendengar alasannya.


“Agatha merindui hubungan monogami. Isteri lain menganggap sikapnya adalah salah kerana dia menerima perkahwinan itu bukan berlandaskan perasaan sebenar,” kata Urso.

Menurut Urso, dia kehilangan seorang isteri dan tidak akan berkahwin untuk menggantikan tempatnya buat masa ini.

Bagaimanapun, Urso berharap dapat berkahwin dengan dua lagi wanita bagi menjadikan bilangan isterinya mencapai 10. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram