Orang Melayu terhutang budi dengan Kit Siang, kata Anwar



PETALING JAYA: Orang Melayu terhutang budi kepada mentor DAP Lim Kit Siang kerana mendidik orang ramai mengenai hak mereka di negara ini, kata Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata, Lim bersuara bukan sahaja mengenai politik dan negara tetapi juga mengenai sensitiviti kaum dan persepsi kaum.

Lim berbeza dengan “pemimpin Melayu tertentu” yang secara terbuka mengkritik komuniti itu, katanya.


“Berbeza dengan tanggapan sesetengah orang bahawa Melayu ini malas, bergantung kepada subsidi, tak kenang budi, senang lupa, Kit Siang berpendapat, orang Melayu bekerja keras, tiada istilah peribumi malas,” kata Anwar dalam satu ucapan pada majlis makan malam penghargaan buat veteran DAP itu malam tadi.

Mengiktiraf sumbangan Lim kepada politik Malaysia, Anwar berkata, tiada gelaran “Datuk, Tan Sri mahupun Tun” yang boleh menandingi ketokohan Kit Siang yang seumpama “fenomena” di negara ini.

“Dan sebagai rakyat Malaysia dan orang Melayu, kami terhutang budi dengan anda, Kit Siang, kerana mendidik orang ramai mengenai hak mereka di negara ini,” katanya.


Anwar memuji Lim atas integriti dan iltizamnya untuk kekal konsisten dan tidak pernah mengalah, serta tidak pernah berkompromi dengan nilai dan prinsipnya.

“Dalam politik, kita perlukan integriti, keberanian dan kecekalan ini. Kualiti ini terjelma dalam diri Lim. Rakyat Malaysia akan sentiasa bangga dengan anda,” katanya.

Lim, 81, minggu lepas mengumumkan persaraannya daripada arena politik dan menarik diri daripada pemilihan untuk kerusi dalam jawatankuasa eksekutif pusat parti. Bagaimanapun, beliau kemudiannya dinamakan sebagai mentor DAP oleh jawatankuasa pusat. – FMT


Join our Telegram Channel
Telegram