#PASleak: PAS anggap dokumen 'sampah', tapi tak nak lapor polis



Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap dokumen yang didakwa mengandungi maklumat sulit mengenai langkah terancang 'mengenakan' pemimpin Umno sebagai "sampah."

Katanya dia juga berasa hairan kerana ada pihak yang percaya bahawa dokumen tersebut sebagai sesuatu yang benar.

"Dokumen sampah macam itu pun ada orang percaya juga? Saya buat gelak saja benda tu.

"(Dokumen berkenaan) tak benar, entah datang daripada mana entah dokumen tu.


"Benda sampahlah bagi saya," katanya kepada media selepas menghadiri sebuah majlis di Kuala Terengganu hari ini.

Terdahulu menteri besar Terengganu itu diminta mengulas mengenai dokumen digelar PASleak dan menarik perhatian beberapa pemimpin kanan Umno termasuk presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru mereka menunggu sebarang penafian dibuat oleh PAS.

Dalam dokumen tersebut beberapa nama disebutkan. Selain Ahmad Zahid, ia juga memetik nama Ahmad Samsuri.

Antara lain dokumen itu mendakwa ada cubaan dibuat agar Ahmad Zahid dan Najib Razak dipenjarakan segera. Untuk rekod Ahmad Zahid sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, manakala Najib sudah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Tak berbaloi nak dilayan

Rayuannya di Mahkamah Rayuan juga ditolak oleh hakim. Kes berkenaan kini dibawa ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Di pihak Perikatan Nasional (PN), dokumen PASleak tersebut memetik nama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata memang ada pertemuan berlangsung di antara beberapa nama yang disebut dalam dokumen berkenaan.

Namun katanya ia dibuat "atas kapasiti berbeza" serta "campur-campur."

"Pertemuan itu ada, dan itu yang saya kata eja nama saya pun tak betul.

"Jadi pertemuan itu dalam kapasiti yang berbeza dan juga campur-campur. Dia (pihak yang membuat dokumen tersebut) tahu ada pertemuan ini, jadi dia buatlah naratif dia. Jadi, saya rasa tak ada kerja lainlah," katanya.


Disoal sama ada PAS bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung isu tersebut, Ahmad Samsuri kelihatan keberatan untuk memilih langkah berkenaan.

"Kita pun tak tahu siapa yang sebarkan dan sebagainya. Proses undang-undang ini sebenarnya proses yang pada saya rumit juga, back and force kita nak ke mahkamah.

"Tak berbaloilah kalau kita nak layan. Kalau tidak kita ini tidak ada kerja, lainlah.

“Hari-hari nak kena buat laporan polis, pergi mahkamah. Kerana apa? Kerana orang duk tularkna benda-benda yang tak betul ini," tambahnya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram