PETALING JAYA: PAS menggunakan Taliban demi meningkatkan imej Islamiknya, kata
Ketua Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Normah Ishak.
Bercakap dalam webinar bertajuk, “Alumni Afghan Generasi Seterusnya? Penilaian
daripada SEA”, Normah berkata, PAS melakukan tindakan sedemikian apabila
memuji kejayaan Taliban mengambil alih Afghanistan selepas tentera Amerika
Syarikat berundur dari negara bergolak itu Ogos, tahun lalu.
Beliau merujuk kepada mesej tahniah yang dimuat naik oleh Pengerusi
Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Muhammad Khalil
Abdul Hadi, pada 18 Ogos.
Khalil, yang juga anak kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dalam ciapannya
di Twitter, berkata Taliban berjaya mencapai kemenangan tanah air mereka
daripada cengkaman penjajahan tidak berperikemanusian. Bagaimanapun, tidak
lama kemudian, ciapan berkenaan dipadamkan.
“Mereka merangka naratif demi memberi kelebihan kepada parti, membentuk
pandangan dan persepsi dalam kalangan Muslim di Malaysia, jadi Muslim di
Malaysia (berfikir) ‘Taliban adalah okay sekarang. Mereka akan baik-baik
sahaja tanpa sokongan bersenjata’.
“Pengiktirafan daripada parti itu terhadap perjuangan Taliban memberi petanda
baik kepada pihak yang cenderung kepada keganasan di Malaysia.”
Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat bahawa kerajaan Malaysia belum
mengiktiraf kerajaan Taliban di negara itu.
Dalam kenyataan disiarkan lidah rasmi PAS, Harakah, pada 25 Ogos, Hadi
mendakwa kepimpinan Taliban sudah berubah dan menuju ke arah yang betul.
Beliau turut menggesa Muslim tidak terpengaruh dengan liputan berhubung
Taliban oleh media Barat, yang disifatkannya sebagai “media fasik”.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel