Polis akan memanggil semua ahli politik yang disebut dalam satu minit mesyuarat dirujuk sebagai dokumen 'PASleak', yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin PAS.
Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim ketika dihubungi berkata polis telah memulakan siasatan terhadap dokumen itu.
Katanya, pihak berkuasa meneliti perkara itu berikutan laporan yang dibuat oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi minggu lepas.
"Kami telah memulakan siasatan terhadap kes ini.
"Ya polis akan ambil keterangan daripada semua yang dinamakan dalam dokumen tersebut," katanya ringkas melalui mesej teks menjawab pertanyaan Malaysiakini mengenai kes itu hari ini.
Bagaimanapun, Azmi tidak menjelaskan lebih lanjut bila tarikh dan masa ahli politik berkenaan akan tampil untuk merakamkan kenyataan, atau jika ada yang telah diambil keterangannya.
Dokumen 'PASleak' itu mengandungi minit mesyuarat dua pemimpin PAS selepas mereka bertemu pelbagai tokoh Umno, Bersatu dan Pejuang.
Nama yang dipetik dalam dokumen itu termasuk beberapa ahli parlimen dan menteri kabinet.
Antara lain, dokumen itu menyebut dakwaan perbincangan mengenai mempercepatkan kes mahkamah melibatkan pemimpin Umno tertentu. Ini mendorong Zahid, yang menghadapi pertuduhan jenayah di mahkamah, membuat laporan menggesa polis menyiasat dakwaan itu.
Salah seorang daripada dua pemimpin PAS yang dinamakan dalam dokumen itu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menafikan kandungan dokumen itu dan menyifatkannya sebagai "sampah".
Pun begitu, naib presiden PAS itu mengakui bahawa mesyuarat yang dicatatkan dalam dokumen itu memang berlaku, tetapi rumusan perbualan yang didakwa dokumen 'PASleak' itu adalah rekaan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- PANAS: Minit mesyuarat PN bocor, rancang sumbat Najib, Zahid ke penjara sebelum #PRU15?
- Kalau betul, sudah berlaku kerosakan sistem ‘judiciary’ dan kehakiman negara, kata Zahid
- #PASleak: PAS anggap dokumen 'sampah', tapi tak nak lapor polis
- #PASleak: Zahid lapor polis siasat dakwaan campur tangan PN dalam proses kehakiman
- #PASleak: PAS dicabar sumpah laknat tuduhan sumbat pemimpin Umno dalam penjara
- BN pandang serius #PasLeak walaupun dianggap berita sampah
- Polis akan panggil semua ahli politik dipetik #PASleak
- #PASLeaks dibuat oleh laskar siber, mungkin Isham Jalil – Sanusi
Join our Telegram Channel