PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu mengadakan mesyuarat tergempar bagi
menentukan langkah seterusnya, selepas pembentangan Rang Undang-undang (RUU)
Anti Lompat Parti ditangguhkan sekali lagi, kata seorang pemimpin DAP
Selangor.
Ronnie Liu membuat gesaan itu susulan laporan terbaharu memetik Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku
Jaafar sebagai berkata, Kabinet tidak bersetuju RUU itu dibentangkan.
RUU Anti Lompat Parti sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat
pada Isnin ini.
“(Kini) masanya untuk PH mengadakan mesyuarat tergempar bagi memutuskan
langkah seterusnya,” katanya kepada FMT.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek itu mendakwa penangguhan berkenaan
adalah “taktik melengahkan” pembentangan RUU Anti Lompat Parti di pihak
kerajaan Perikatan Nasional.
Beliau menekankan sekiranya RUU itu tidak diluluskan, maka ia boleh melemahkan
keinginan dan minat pengundi untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum
ke-15, selain tindakan lompat parti adalah sindiran terhadap proses demokrasi.
Liu yang juga ahli Jawatankuasa Pusat Eksekutif Pusat DAP, turut menggesa
gabungan pembangkang membatalkan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi
dan Kestabilan Politik, yang dimeterai dengan kerajaan.
“Saya sebenarnya berat hati bersetuju dengan MoU itu disebabkan kemungkinan
untuk undang-undang anti lompat parti diluluskan. Saya tahu hakikatnya MoU itu
membawa kerosakan besar kepada kredibiliti PH.
“MoU itu perlu dibatalkan demi melindungi imej PH atau ia berisiko hilang
kredibilitinya sebagai suara pembangkang yang bertanggungjawab.”
Januari lalu, Liu menggesa PH membatalkan MoU itu, sekiranya RUU Anti Lompat
Parti tidak digubal menjelang Mac kerana undang-undang itu antara perkara
terpenting dalam perjanjian itu dan kekal sebagai punca utama untuk kedua-dua
pihak terus menghormati MoU berkenaan.
Terdahulu, Wan Junaidi dipetik The Star sebagai berkata, RUU itu dihantar
balik untuk kajian lanjut ke atas definisi “lompat parti”.
Bagaimanapun, katanya, sidang khas Dewan Rakyat tetap diteruskan pada 11 April
ini dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bertujuan memudahkan RUU itu
dibentangkan kelak.
Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN:
- PANAS: Ronnie Liu panggil mesyuarat tergempar, gesa PH batal MoU dengan kerajaan
- Tangguh RUU Anti Lompat Parti, ada gunting dalam lipatan, Zahid soal kerajaan
- Menteri pun katak politik, susah nak lulus RUU antilompat - Shahrir
- Muhyiddin bimbang RUU Anti Lompat Parti jadi undang-undang zalim
- Umno putuskan MOU kerajaan-PH tak akan dilanjutkan
- Kerajaan akan ikut keputusan MKT Umno tolak lanjut MoU dengan pembangkang, kata PM
- MOU PH dengan kerajaan, bukan dengan Umno - Khalid
Join our Telegram Channel