SELEPAS dikecam gara-gara kenyataan berkaitan pelitup muka tiada cop Sirim,
sebuah video memperlihatkan mask keluaran pereka fesyen Datuk Jovian Mandagie
terputus talinya ketika siaran langsung tular di laman sosial.
Menerusi video pendek yang dipercayai untuk siaran jualan langsung itu
menyaksikan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza selaku duta produk berkenaan
cuba memakai pelitup muka tersebut.
Namun perkara tidak dijangka berlaku apabila talinya terputus ketika hendak
disarungkan ke muka.
Bagaimanapun, Siti Nurhaliza menerusi video tersebut mengatakan tali pelitup
muka itu terputus disebabkan cara dia menariknya terlalu kasar.
"Sebab itu saya takut tau... sebab kalau saya pegang apa-apa, tangan saya ini
gagah sangat," kata Siti Nurhaliza yang ketika itu turut ditemani Jovian.
Kemudian, apa yang menarik perhatian netizen apabila tali mask baharu yang
ingin diberikan kepada penyanyi itu terputus sekali lagi.
Video tersebut mendapat pelbagai respons dalam kalangan netizen yang
rata-ratanya mempertikaikan kualiti produk keluaran pereka fesyen terkenal
itu.
Malah, terdapat segelintir netizen yang membuat perbandingan dengan pelitup
muka yang dibeli secara talian dengan harga yang jauh lebih murah.
"Dah malu la tu. Lepas ni keluar la statement 'kita masih dalam fasa ujian,
mungkin akan keluar mask cop Sirim siri kedua'.
“Ini orang kata, yang mahal belum tentu berkualiti, belum apa-apa dah hauk.
"Adoi, malunya... berkualiti atau tak tu? Kalau ada cop Sirim barang mesti
power la kan ini tak?
"Baru ini ada beli di talian, harga dalam RM3.90 untuk 50 keping. Bila pakai
putus macam itu, tak ralat sangat. Ini RM30, putus macam tu juga baik aku beli
yang Shoppe saja.
"Pelitup muka KN94 saya beli kat Shopee harga RM1.50 untuk 10 keping tak cepat
putus tali. Cuma tak ada cop Sirim sajalah," komen beberapa netizen.
Sebelum ini, kecoh apabila keluar kenyataan berhubung Pewartaan Perintah
Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Pelitup Muka Bukan Perubatan yang
dikuatkuasa pada 4 Julai depan.
Lagi menambahkan kemarahan netizen apabila Jovian mengeluarkan kenyataan
menyokong tindakan kerajaan untuk memperketatkan jualan pelitup muka kepada
yang mempunyai cop Sirim sahaja.
Malah, ayat Jovian yang mengatakan terdapat produk pelitup muka 'hauk' di
pasaran mengundang rasa kurang senang netizen.
Bagaimanapun, selepas isu tersebut menerima bantahan ramai pihak, pelaksanaan
memakai pelitup muka cop Sirim ditangguhkan kepada 1 Januari tahun hadapan.
Sementara itu, Jovian yang juga menantu kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk
Seri Ismail Sabri tampil menjelaskan kenyataannya mengenai pelitup muka
'hauk'.
"Banyak yang salah faham, apa yang saya maksudkan itu ialah pelitup muka
'Jovian Mask Tiruan' yang berleluasa di pasaran. Tak ada niat saya nak
memperkecilkan mana-mana jenama pelitup muka di pasaran.
"Lebih dua tahun Jovian Mask Tiruan berada di pasaran mengambil kesempatan
guna rekaan kami, monogram kami, gambar promosi, nama dan logo kami untuk
kepentingan masing-masing sehingga menipu pengguna.
Please subscribe
Join our Telegram Channel