Umno memutuskan memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara kerajaan
dan PH yang akan berakhir 31 Julai ini untuk tidak diteruskan.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang dipengerusikan
presiden, Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
"Kedudukan MOU di antara kerajaan persekutuan dan PH yang berakhir 31 Julal
2022 diputuskan tidak akan diteruskan lagi," kata Setiausaha Agung Umno Ahmad
Maslan dalam kenyataan selepas mesyuarat itu hari ini.
Selain itu, Ahmad berkata mesyuarat turut memutuskan agar satu perhimpunan
agung khas diadakan pada 14 Mei ini bagi meminda Perlembagaan Umno mengenai
tempoh pemilihan parti.
Mesyuarat hari ini turut menggesa pembentangan akta antilompat parti mesti
diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa kompromi dengan "gesaan
mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk mengubah maksudnya
kepada bentuk perundangan yang lain."
"Umno berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan
sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara
dan dihormati," katanya lagi.
MOU itu ditandatangani bagi mengembalikan kestabilan politik setelah perubahan
kerajaan pada Ogos tahun lalu.
Secara asasnya, dengan pemeteraian itu, PH tidak akan menghalang kerajaan
dalam undi kritikal di Dewan Rakyat yang boleh membawa kesan terhadap
survivalnya, seperti belanjawan.
Sebagai pertukaran, kerajaan akan mengusahakan sejumlah pembaharuan dan dasar
yang sebelum ini dibawa PH.
Antara yang terkandung adalah penggubalan undang-undang bagi antilompat parti
yang semakin diperkatakan, terutama setelah Langkah Sheraton pada Februari
2020 yang mengakibatkan runtuhnya kerajaan PH.
Pada 11 April kerajaan membentangkan rang undang-undang (RUU) pindaan
perlembagaan untuk memperkenalkan klausa yang akan membolehkan penguatkuasaan
undang-undang bagi menangani wakil rakyat yang melompat parti.
Seterusnya Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen akan memperhalusi perkara itu
sebelum satu lagi sidang khas Dewan Rakyat diadakan.
Dengan tarikh tamat MOU semakin hampir, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke
sebelum ini berkata PH boleh meneruskan kerjasama itu melalui MoU kedua
sehingga penggal parlimen tamat pada 2023.
Loke berkata dengan sokongan PH, Ismail Sabri boleh mengabaikan tekanan
daripada kem Zahid untuk pilihan raya mengejut sdan meminta Parlimen menamat
penggalnya sehingga 2023.
ARTIKEL BERKAITAN:
- PANAS: Ronnie Liu panggil mesyuarat tergempar, gesa PH batal MoU dengan kerajaan
- Tangguh RUU Anti Lompat Parti, ada gunting dalam lipatan, Zahid soal kerajaan
- Menteri pun katak politik, susah nak lulus RUU antilompat - Shahrir
- Muhyiddin bimbang RUU Anti Lompat Parti jadi undang-undang zalim
- Umno putuskan MOU kerajaan-PH tak akan dilanjutkan
- Kerajaan akan ikut keputusan MKT Umno tolak lanjut MoU dengan pembangkang, kata PM
- MOU PH dengan kerajaan, bukan dengan Umno - Khalid
Join our Telegram Channel