Tangguh RUU Anti Lompat Parti, ada gunting dalam lipatan, Zahid soal kerajaan



PETALING JAYA: Keputusan kerajaan untuk tidak bersetuju membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat umpama memberi isyarat terdapatnya gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan itu, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, penangguhan RUU itu menunjukkan kerajaan yang dipimpin oleh Ismail Sabri Yaakob tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk menggubalnya.

“Dengan kata lain, perundangan ‘antilompat’ akan mengambil masa yang panjang, berdepan risiko ditangguh untuk sekian kali dan kelewatan ini seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk digubal, bahas dan diluluskan. Adakah terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan ini?


“Sudah tentu ini amat mengecewakan rakyat Malaysia yang sudah lama menanti kewujudan undang-undang itu dilaksanakan segera kerana mandat rakyat memilih pemimpin ketika pilihan raya hilang apabila lompat parti,” katanya di Facebook.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata, Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan cadangan RUU Anti Lompat Parti.

Beliau berkata, RUU itu tidak akan dibentangkan dalam sidang khas Isnin ini, sebaliknya ia dihantar balik untuk kajian lanjut berhubung definisi “lompat parti”.

Kenyataan Wan Junaidi itu mengesahkan laporan FMT terdahulu yang memetik sumber sebagai berkata, Jemaah Menteri meminta semakan ke atas RUU itu dibuat lima hari sebelum sidang khas diadakan.

Sumber berkata, perdana menteri akan mempengerusikan mesyuarat mengenai RUU itu pada Ahad ini, dengan mana semua Ahli Parlimen dan senator dipanggil.


Mengulas lanjut, Zahid berkata, sudah tiba masanya pemimpin Umno dalam kerajaan lebih tegas dalam menangani isu berkenaan sebelum ia menambahkan lagi kemarahan semua pihak yang mahu undang-undang lompat parti disegerakan.

Zahid juga berkata, keputusan kerajaan menangguhkan pembentangan RUU itu adalah tamparan hebat kepada Pakatan Harapan (PH) yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan Ismail.

“Saya sudah menyatakan bahawa persefahaman kerajaan sedia ada di antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan PH perlu dinilai semula kerana dinilai kurang tegas dalam usaha untuk mempercepatkan membentang dan meluluskan undang-undang ini.

“Sudah pasti ini juga satu tamparan hebat terhadap PH yang membuat persefahaman dengan kerajaan yang sebenarnya bimbang tak mampu dan tak bersedia berdepan PRU jika Parlimen dibubarkan,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram