Budak 4 tahun tenat dipercayai ambil lebihan dadah dalam kereta pakcik



PETALING JAYA: Kanak-kanak berusia empat tahun yang masih kritikal akibat kandungan methampethamine dipercayai mengambil dadah itu kerana menemuinya dalam sebuah kenderaan milik seorang yang mempunyai talian persaudaraan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata terdapat kemungkinan mangsa ditinggalkan suspek berusia 30 tahun dalam kereta Proton Saga dinaiki mereka selepas mendapatkan bekalan dadah itu.

“Kita percaya suspek mengambil bekalan dadah dengan membawa mangsa bersama dalam kenderaannya dan siasatan awal menunjukkan ada kemungkinan mangsa ditinggalkan dalam kereta dan ada lebihan dadah di dalamnya.


“Sehubungan itu, kami merampas kenderaan terbabit untuk dihantar ke unit forensik untuk siasatan lanjut,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek sudah beberapa kali membawa kanak-kanak itu keluar.

Zaki berkata, berikutan kejadian itu, polis menahan sembilan individu berusia 19 hingga 40 tahun dalam serbuan berasingan beberapa ‘port’ dadah sekitar Kampung Sri Bintang, Kuala Krai, semalam.

“Seramai sembilan individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas yang dilakukan di sekitar kampung berkenaan dan saya juga mengarahkan agar siasatan lanjut diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, ibu mangsa berusia 36 tahun, berkata keadaan anaknya menunjukkan petanda baik kerana memberi respons apabila namanya dipanggil walaupun dalam keadaan ditidurkan.


“Walaupun belum lagi sedarkan diri, sudah ada sedikit pergerakan sebaik namanya dipanggil dan itu cukup melegakan saya.

“Harapan saya agar anak dapat diselamatkan dan keadaan saya yang menghidap kanser payudara tahap lima begini, sangat sukar untuk menguruskan keadaan sebegini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) oleh ibunya, kira-kira 5 pagi, semalam, dan dilaporkan kritikal selepas didapati mempunyai kandungan dadah tinggi dalam badan.

Suspek yang bekerja sebagai buruh yang ditahan kelmarin, turut didapati memiliki tiga rekod lampau bersabit kes dadah direman tujuh hari, bermula semalam sehingga 26 Jun ini, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram