Kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak ke sebuah majlis di istana
baru-baru ini dilihat sebagai tidak betul dan tidak molek.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata seseorang banduan tidak
sepatutnya dijemput ke istana.
"Pandangan saya banduan tidak seharusnya dijemput ke istana. Ia tidak betul
dan tidak molek.
"Ia seolah-olah menunjukkan ada sokongan tertentu daripada istana," katanya
kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.
Dr Mahathir hari ini diajukan soalan mengenai undangan Najib ke istana oleh
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
pada Mei lalu sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati dan rungutan di
kalangan mereka yang tidak bersetuju.
Ini susulan Najib disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC
International, yang disifatkan sebagai memalukan negara dan terlibat dalam
satu lagi perbicaraan berkaitan skandal kewangan terbesar di dunia membabitkan
firma pelaburan negara, 1MDB.
Pada masa yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual menyampaikan
keputusannya terhadap kes rasuah isterinya Rosmah Mansor berhubung projek
tenaga solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak pada 7 Julai.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan Najib bahawa pengerusi Pejuang
itu sudah dilihat sebagai tidak relevan lagi, Dr Mahathir berkata dia tidak
ambil kisah dengan kenyataan berkenaan.
"Itu pendapat dia, orang lain mungkin ada idea lain.
"Dia ada hak untuk menganggap semua orang sebagai tidak relevan," katanya
sinis.
Join our Telegram Channel