KOTA BHARU – Ibu kepada kanak-kanak lelaki yang kritikal selepas dipercayai termakan dadah jenis methamphetamine di Kuala Krai kelmarin merupakan penghidap kanser payudara tahap lima.
Wanita yang berusia 36 tahun itu berkata, penderitaannya itu seolah-olah sudah hilang apabila melihat keadaan anak bongsu daripada tiga beradik sudah ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini sejak kelmarin.
Menurutnya, dia pernah menerima bantuan sebuah agensi kerajaan untuk menjalani rawatan sejak enam tahun lalu, namun bantuan itu sudah dihentikan sejak Disember lalu.
“Suami kini tidak tinggal bersama kami. Sejak daripada itu, saya bersama tiga anak hanya bergantung kepada pendapatan bapa saya yang mengambil upah dengan menoreh getah.
“Kini, anak bongsu saya yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) dimasukkan ke hospital akibat diberi dadah. Keadaan kesihatannya itu membuatkan saya seakan-akan melupakan kesakitan akibat kanser payudara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di HRPZ II di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan, seorang budak lelaki berusia empat tahun kritikal selepas dipercayai termakan dadah jenis methamphetamine dalam kejadian di Kuala Krai dekat sini kelmarin.
Kejadian disedari oleh ibu mangsa selepas mendapati anaknya berada dalam keadaan lemah dengan muka kebiru-biruan sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan pada pukul 5 pagi.
Kanak-kanak itu yang masih kritikal kemudian dipindahkan HRPZ II di sini untuk rawatan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel