PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak kritikal dan kini menerima rawatan di hospital selepas didapati terdapat kandungan dadah dalam badannya.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) oleh ibunya kira-kira 5 pagi semalam.
Katanya, mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal dan sebaik pemeriksaan dibuat mendapati dalam badannya terdapat kandungan dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata, susulan itu pihak hospital kemudian melaporkan perkara berkenaan kepada pihak polis.
“Siasatan mendapati kanak-kanak lelaki ini dipercayai dibawa bapa saudaranya ke suatu tempat dan belum dapat dipastikan lagi sama ada mangsa diberikan dadah atau dibiarkan terdedah dengan bahan larangan itu sebelum memasukkannya dalam badan.
“Susulan itu, bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan 10 malam tadi dan soal siasat yang dibuat. Suspek mengaku membawa anak saudaranya itu ke sesuatu tempat tapi menafikan ada memberinya dadah,” katanya, menurut laporan Harian Metro.
Muhamad Zaki berkata, mangsa yang kini masih kritikal sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan pihaknya sedang menunggu laporan lanjut.
Katanya, hasil ujian saringan yang dibuat ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan turut memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel