Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyalahkan pembangkang kerana enggan
mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) meskipun melabelkan kerajaan pada
masa ini sebagai ‘cap ayam’.
"Yang labelkan kerajaan campuran hari ini sebagai kerajaan cap ayam adalah
pembangkang.
"Yang kuat mengambil kesempatan menghentam dasar kerajaan sejak kebelakangan
ini pembangkang.
"Tetapi apabila disaran PRU15 agar rakyat diberi mandat memilih sebuah
kerajaan baru, pembangkang marah,” tulis Ahmad Zahid di laman Facebooknya hari
ini.
Ahmad Zahid berkata, PRU15 merupakan langkah paling demokratik untuk rakyat
mendapatkan semula sebuah kerajaan yang kukuh, sekali gus memastikan usaha
membantu rakyat akan lebih berkesan,
Katanya, kerajaan campuran pada masa ini hanya bersifat sementara dan
merupakan kesinambungan daripada pentadbiran kerajaan apabila Pakatan Harapan
tumbang dan hanya dapat bertahan selama 22 bulan.
Bagaimanapun, kata Ahmad Zahid, pembangkang memberi bermacam alasan agar PRU15
tidak diadakan dalam masa terdekat.
"Dulu pembangkang beri alasan Covid-19 oleh itu PRU15 tidak boleh diadakan,
kini alasan inflasi pula.
"Alasan demi alasan pembangkang sebenarnya mendedahkan kekhuatiran sebenar
mereka. Kekhuatiran untuk berdepan penentuan rakyat yang pernah mereka perdaya
demi mendapat kuasa.
"(Pembangkang) Mahu 'membeli masa' untuk mendapatkan ruang mencukupi
membohongi dan menipu rakyat sekali lagi," katanya.
Presiden Umno itu antara tokoh dalam Umno yang berulangkali menggesa supaya
PRU15 diadakan walaupun mandat kerajaan pada masa ini hanya akan tamat pada 15
Julai tahun depan.
Pemimpin Umno yang menyokong PRU diadakan awal berpendapat waktu ini adalah
masa sesuai mengadakan PRU selepas BN mendapat momentum kemenangan pada
pilihan raya negeri Johor dan Melaka.
Join our Telegram Channel