PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin menyatakan sudah berbincang dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook bagi pembentukan kerajaan baharu, kata Presiden Warisan, Shafie Apdal.
Katanya, selain itu, sokongan 119 Ahli Parlimen itu turut dimaklumkan sendiri Muhyiddin dalam perbualan telefon.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu ada memberitahunya sudah berbincang dengan Anwar dan Loke.
“Kita berbicara menerusi perhubungan (panggilan) telefon. Dia ada menyebut dengan saya bahawa (beliau) ada sokongan 119 (Ahli Parlimen).
“Dia (Muhyiddin) juga menyatakan kepada saya, dia sudah berbincang dengan Anwar, Anthony Loke untuk membentuk kerajaan. So keadaan ini, kita dapat melihat kalau dia menafikan…terserahlah…,” katanya menurut laporan Awani.
Pada Ahad, Muhyiddin menafikan mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai perdana menteri.
“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa saya telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, tuduhan tersebut adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, apa yang dibincangkan dalam siri pertemuan dengan beberapa pimpinan parti politik selain Barisan Nasional (BN) adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel