Asia Times ‘spin’, Tok Mat hanya luah jika senario buruk berlaku kepada Najib, kata Isham



PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil mempertahankan timbalan presiden parti, Mohamad Hasan yang didakwa mengatakan bekas perdana menteri Najib Razak patut dipenjarakan seperti dilaporkan Asia Times.

Katanya, penafian Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat mengenai perkara itu adalah wajar kerana tiada satu pun bahagian temu bualnya dengan Asia Times ada mengatakan Najib bersalah dan patut masuk penjara.

“Saya telah mendengar audio rakaman perbualan antara wartawan Asia Times dengan Tok Mat Hasan dari awal sampai habis.

“Tidak ada satu pun bahagian atau mana-mana bahagian yang Tok Mat Hasan kata Najib bersalah dan patut masuk penjara.


“Tajuk di portal itu adalah tidak betul dan satu putar belit (spin), mungkin bertujuan untuk mensensasikan dan memviralkan portal mereka,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Mohamad menafikan laporan Asia Times dan berkata kenyataannya diambil di luar konteks.

Bagaimanapun, wartawan Asia Times yang menemubual Mohamad mempertahankan artikelnya malah memuat naik rakaman temu bual itu di Twitternya.

Isham berkata, apa diluahkan Mohamad dalam temubual itu adalah mempersediakan diri untuk senario terburuk jika sesuatu tidak diingini berlaku kepada Najib.

Katanya, soalan diajukan wartawan terbabit juga adalah andaian apa akan terjadi jika Najib masuk penjara.

“Tok Mat pernah kata pada saya, ‘We hope for the best, but prepare for the worst’ (kita berharap untuk yang terbaik, tetapi perlu bersedia untuk yang terburuk).


“Soalan yang ditanya wartawan itu pun adalah berkenaan andaian apa akan jadi jika Najib masuk penjara, ini adalah situasi atau senario terburuk yang akan berlaku kepada sahabatnya Najib, dan dia (Mohamad) telah memberikan pandangannya.

“Namun, ini tidak bermaksud yang dia mahu Najib masuk penjara, apa yang dia kata adalah jawapan kepada soalan andaian wartawan berkenaan senario jika Najib didapati bersalah.

“Sebab itu tajuk berita portal Asia Times tersebut adalah bukan sahaja tidak tepat tetapi tidak betul dan tidak adil kepada Tok Mat Hasan dan kepada Najib,” katanya.

Isham berkata, pihak yang “seronok” apabila berita seperti itu keluar adalah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa dari dulu cuba melaga-lagakan pemimpin Umno.

Beliau juga mendakwa ada mendengar khabar mengatakan ada seorang atau dua pemimpin Umno penyokong Muhyiddin Yassin yang ingin supaya cerita itu disensasikan.

“Mereka ini adalah duri dalam daging,” katanya. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram