Beri peluang Dr. M jadi PM selama setahun



SAUDARA PENGARANG,

Jangan campuri urusan dalaman Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk mencalonkan siapa sahaja sebagai calon Perdana Menteri kami termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad. Apa masalahnya?

Dr. Mahathir ialah negarawan bertaraf dunia yang mempunyai rekod pentadbiran negara terbaik. Pengalaman serta ilmu pengetahuan Dr. Mahathir terlalu luas hendak dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin lain di negara kita.

Beliau berada dalam persada politik dari sebelum UMNO dilahirkan dan melalui pelbagai fasa cabaran politik tanah air.


Hutang negara kita masa kini sudah mencecah RM1.4 trilion. Dalam keadaan permasalahan negara masa kini, tiada calon terbaik untuk menggalas semula jawatan Perdana Menteri selain Dr. Mahathir.

Siapakah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa lagi tokoh lain jika dibandingkan dengan Dr. Mahathir? Beliau amat layak untuk membuat kemunculan semula sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.

Selagi Allah SWT menganugerahkan kesihatan terbaik serta minda tajam kepada Dr. Mahathir, maka bekas Perdana Menteri kali kedua itu harus menjawat semula jawatan nombor satu negara sekurang-kurangnya untuk setahun.

Ini amat penting bagi membolehkan Dr. Mahathir melakarkan semula pelan induk bagi memperbaiki semua permasalahan negara ke arah membina semula Malaysia Baharu.


Hanya pengalaman luas, keikhlasan, kejujuran serta semangat Dr. Mahathir yang mampu membina sebuah negara Malaysia Baharu.

Yang teramat penting, Dr. Mahathir tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran. Jiwa beliau hanyalah untuk bangsa, negara dan agama.

Sebab itu Dr. Mahathir senantiasa membakar diri untuk menerangi penghidupan keseluruhan rakyat serta ummah sejagat.

KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan



Join our Telegram Channel
Telegram