Crackhouse gesa DBKL tarik semula arahan gantung lesen



PETALING JAYA: Pihak pengurusan Crackhouse Comedy Club menggesa agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik semula penggantungan lesen premis tersebut.

Ia susulan satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial menunjukkan seorang wanita mendakwa menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum menanggalkan tudung dan baju kurungnya ketika membuat persembahan di kelab tersebut.

Dalam kenyataan, pengurus kelab tersebut Rizal Van Geyzel dan Shankar R. Santhiram berkata, kelab itu disita tanpa sebarang notis bertulis awal kepada pihak pengurusan.

“Pada 11 Julai 2022, Crackhouse Comedy Club disita tanpa sebarang notis bertulis awal kepada pihak pengurusan.


“Kami menggesa pihak berkuasa agar menarik semula penggantungan lesen Crackhouse Comedy Club kerana tindakan ini bersifat berat sebelah dan tanpa pertimbangan yang wajar, ” katanya.

Kenyataan bersama itu turut disokong beberapa lagi penama antaranya pelawak Harith Iskander, Douglas Lim dan Achmad Rusli @ Mad Sabah.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Crackhouse Comedy Club akur bahawa pihak berkuasa perlu menyiasat tindakan individu wanita yang didakwa menghina agama Islam semasa melakukan persembahan.

Namun, mereka menegaskan, kelab komedi tersebut tidak pernah bersekongkol dengan individu terbabit dan pihak pengurusan kelab sama sekali tidak bersetuju dengan tindakannya.

“Mana-mana individu yang membuat persembahan tidak dibenarkan sama sekali menyinggung institusi diraja. Mereka juga tidak diizinkan untuk menyinggung mana-mana kepercayaan dan agama. Dua peraturan ini dinyatakan dengan jelas kepada setiap orang.


“Individu yang terkait dalam insiden ini dengan jelas sengaja mencabuli dua peraturan tersebut walaupun telah dimaklumkan mengenainya,” kata mereka.

Dalam pada itu, katanya, mereka akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa terutamanya pihak DBKL untuk menangani segala urusan termasuk status perlesenan kelab.

Terdahulu media melaporkan, DBKL memaklumkan akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Crackhouse Comedy Club kerana beroperasi tanpa lesen yang betul, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias.

Pada Ahad, DBKL mengumumkan penggantungan operasi kelab itu sementara menunggu siasatan ke atas lesen premis itu. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:



Please subscribe


Please subscribe



Please subscribe


Please subscribe



Please subscribe

Join our Telegram Channel
Telegram